KUALA LUMPUR - Dua set tren pertama daripada 27 set di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27) untuk sistem transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mula beroperasi semalam selepas selesai menjalani sesi ujian dan pentauliahan.
Prasarana menerusi kenyataan pada Ahad memaklumkan, dua set tren empat gerabak model Bombardier Innovia Metro 300 baharu itu dilengkapi beberapa ciri penambahbaikan berbanding 14 unit set tren bermodel sama yang digunakan sejak 2018 dan diperoleh di bawah inisiatif KLAV14.
Iklan
Iklan
"Kesemua 27 set tren yang diperoleh di bawah projek KLAV27 bernilai RM1.7 bilion itu dilengkapi beberapa ciri penambahbaikan termasuk sistem brek, pintu penumpang, pengurusan tren, kuasa sokongan (auxiliary) dan pengenalan ‘Digital Route Map Display’,” menurut kenyataan itu.
Pada Julai tahun lepas, Prasarana mengumumkan penambahan 27 set tren baharu empat gerabak jenis Bombardier Innovia Metro 300 secara berperingkat hingga 2023 bagi LRT laluan Kelana Jaya.
Menurut Prasarana setakat ini, lapan set tren KLAV27 telah berada di depoh LRT Laluan Kelana Jaya di Subang termasuk dua yang memasuki operasi harian semalam dan enam tren lain masih dalam pelbagai peringkat ujian, pentauliahan dan kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum dibenarkan beroperasi.
"Ujian sistem brek, ujian kuasa tarikan tren (train traction power) serta ujian tanpa gagal (fault free run) adalah antara siri-siri ujian atau pentauliahan yang telah dilalui oleh semua tren ini sebelum diluluskan oleh APAD,” menurut kenyataan itu. - Bernama