JITRA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima 1,769 aduan berkaitan majikan tidak membenarkan pekerja Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh Perintaha Kawalan Pergerakan (PKP) setakat Ahad.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, aduan tersebut adalah paling tinggi berbanding 3,737 pelbagai aduan lain yang diterima pihaknya melalui aplikasi Working for Workers (WfW) yang dilancarkan pada awal Mei lalu.
Menurutnya, ramai majikan didapati masih ingkar dengan arahan dan prosuder operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di tempat kerja.
"Sepatutnya, majikan hanya benarkan 60 peratus pekerja datang bekerja di pejabat manakala selebihnya adalah BDR. Tetapi kita dapati ada majikan yang menyuruh 100 peratus pekerjanya datang bekerja,” katanya pada sidang akhbar di Jitra, dekat sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 bersama polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sebuah kilang di Jitra yang menghasilkan produk makanan kesihatan, penjagaan diri dan kosmetik.
Mengulas lanjut, Awang berkata, sebanyak 19,981 majikan juga telah diperiksa oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melibatkan 108,877 tempat penginapan di seluruh negara.
Menurutnya, sebanyak 757 Kertas Siasatan telah dibuka dibawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 [Akta 446] terhadap majikan dalam pelbagai sektor melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta ini setakat Ahad.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 125 kertas siasatan telah diambil tindakan pendakwaan di Mahkamah Sesyen di seluruh negara manakala 55 kes pendakwaan telah selesai dengan jumlah denda dibayar sebanyak RM361,000," ujarnya.
Tambahnya, selain menguatkuasakan Akta 446, JTK turut diberikan amanah untuk menguatkuasakan Pematuhan Terhadap SOP PKP 3.0 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Sepanjang penguatkuasaan Akta 342 ini, sebanyak 433 premis pekerjaan telah diperiksa dan 72 kompaun telah dikeluarkan dengan jumlah kompaun sebanyak RM613,000 yang melibatkan 62 majikan dan 10 individu," katanya.