CABARAN utama pasca-pandemik yang akan dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukanlah kekurangan pembiayaan namun lebih kepada kemampuan atau ketidakmampuan untuk mengakses kepada bakat berkelas dunia, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA).
Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan, Datuk William Ng berkata, justeru, pihaknya berharap kerajaan boleh menyediakan intervensi jangka pendek dalam bentuk insentif fiskal sama ada secara langsung kepada majikan atau pekerja PKS.
"Ia boleh disediakan mungkin dalam bentuk sumbangan yang sesuai bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, subsidi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan pemotongan cukai bagi faedah pekerja dan penjenamaan majikan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata pada masa sama, SAMENTA juga bekerjasama dengan institusi pendidikan tinggi untuk mewujudkan graduan yang sedia bekerja dalam industri ini dan menghapuskan anggapan bahawa PKS adalah majikan ‘bawahan’.
Universiti tempatan tidak menghasilkan bakat yang bersedia dengan keperluan industri manakala bakat terbaik pula tidak mahu bekerja dengan PKS, katanya.
Ng berkata kajian Pengalaman Pekerja PKS yang dijalankan oleh SME Magazine dan Willis Towers Watson baru-baru ini menunjukkan dapatan yang bertentangan dengan anggapan popular, PKS Malaysia mendahului rakan serantau dalam libat urus pekerja.
"Ini bermakna PKS kita pada umumnya ialah ‘majikan yang baik’ namun malangnya, ini tidak diterjemahkan untuk syarikat menjadi majikan pilihan,” katanya.
Beliau berkata kelemahan itu mungkin disebabkan oleh penjenamaan majikan dan amalan sumber manusia dalam kalangan PKS tempatan, serta kekurangan program bertumpuan untuk menarik dan mengekalkan bakat.
Rakyat Malaysia sememangnya lebih suka bekerja di syarikat besar yang dapat memberi gaji lebih tinggi dan faedah yang lebih baik, katanya. - Bernama