KOTA TINGGI - Seorang lelaki mencari ibu kandung anak angkat yang dijaganya sejak usia lima hari.
Norizan Nordin, 37, berkata, anak angkatnya, Farah Imani Abdullah kini sudah berusia dua tahun lebih telah dianggap sebagai anak sendiri.
Menurutnya, dia dan isteri belum dikurniakan rezeki anak dan menganggap kehadiran Farah Imani sebagai satu anugerah dalam keluarga mereka.
"Ibu kandung Farah Imani merupakan warga tempatan. Kami ambilnya di Pontian selepas rakan isteri memaklumkan ibu kandungnya mahu mencari keluarga angkat untuk bayinya itu.
"Penyerahan dilakukan secara sukarela oleh ibu kandungnya bahkan dia meminta kami menjaga baik anaknya itu.
"Ibunya juga memaklumkan akan menguruskan urusan pengambilan anak angkat, namun sehingga kini tidak selesai dan kami gagal menghubunginya," katanya.
Tambahnya, kini dia dan isteri sedang mengesan ibu kandung anak angkatnya itu bagi membantu urusan dokumentasi dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi.
Jelasnya, proses berkenaan memerlukan kehadiran ibu kandung Farah Imani demi masa depan kanak-kanak itu terutamanya dari segi pendidikan.
"Kami sudah anggap Farah Imani seperti anak kandung sendiri bahkan menyayanginya umpama darah daging kami.
"Apa yang kami mahukan adalah yang terbaik untuk kehidupannya. Kami mahu dia membesar seperti mana kanak-kanak lain," katanya.