DANDONG - CHINA. Kereta api kalis peluru yang dinaiki pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un tiba di China, lewat semalam menjelang sidang kemuncak kedua bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Vietnam pada Rabu dan Khamis ini.
Agensi berita Yonhap melaporkan kereta api tersebut tiba bandar sempadan Dandong pada jam 9 malam (waktu tempatan).
Awal pagi Ahad, agensi berita Korea Utara, KCNA turut mengesahkan Jong-un telah berlepas dari Pyongyang.
"Pegawai kanan, kerajaan dan angkatan bersenjata berharap Jong-un mencapai kejayaan dan mengucapkan semoga beliau selamat pulang," lapor KCNA.
Kereta api tersebut melintasi China beberapa hari selepas pelbagai spekulasi timbul berhubung rancangan perjalanan Jong-un.
Difahamkan, kawalan keselamatan telah diperketatkan sebelum ketibaan kereta api itu.
"Kereta api itu panjang dan melintasi jambatan lebih perlahan berbanding kereta api pelancong. Tetapi, semestinya ia membawa Jong-un kerana terdapat ramai polis berkawal sekitar kawasan itu," lapor NK News memetik sumber tidak dikenal pasti.
Tahun lalu, Jong-un ke Singapura menggunakan pesawat dipinjam dari Beijing dan ia masih tidak jelas sama ada beliau akan menaiki kereta api ke Hanoi.
Beberapa sumber memaklumkan beliau akan menaiki kereta api ke Vietnam dan berhenti di stesen Dong Dang berhampiran sempadan China sebelum memandu ke Hanoi. - AFP