SEREMBAN - Persatuan Muhibah Pemandu-Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandar Seremban, merayu kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk memberi pengecualian bayaran sewa tapak kenderaan bagi menunggu penumpang persatuan mereka.
Pengerusinya, P Ravi Chantar berkata, pihaknya menerima invois supaya membuat bayaran sewa tapak kenderaan (teksi) milik MBS yang tertunggak sebanyak RM5,600.
Menurutnya, sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, pendapatan pemandu teksi terjejas teruk, malah pendapatan mereka merundum sehingga 95 peratus.
"Sekarang kita sudah memasuki PKP 3.0, pendapatan kami tetap sama, masih lagi terjejas dan berkurangan, malah ada dalam kalangan ahli yang tidak beroperasi kerana bimbang dengan wabak Covid-19 ini.
"Oleh sebab itu, kami meminta jasa baik MBS untuk memberi pengecualian bayaran sewa tapak letak teksi berjumlah RM800 sebulan, yang kini sudah tertunggak sehingga RM5,600," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, kawasan menunggu penumpang itu sudah disewa hampir 15 tahun dan tiada sebarang masalah bayaran sebelum ini, namun disebabkan pandemik Covid-19 mereka hilang sumber pendapatan sehingga menyebabkan bayaran tertunggak.
Tambahnya, jika tidak dapat pengecualian, pihaknya berharap MBS dapat pengurangan bayaran sewa tapak bagi mengurangkan beban yang ditanggung.
Mengulas lanjut katanya, dia telah cuba menghubungi pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk memohon pengecualian atau pengurangan tetapi malangnya sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.
Dalam pada itu, Ravi memberitahu pihaknya sangat memerlukan bantuan terutamanya dari kerajaan negeri.
Katanya, pada tahun lalu, pemandu teksi yang berdaftar di negeri ini pernah menerima bantuan secara ''one off' dari kerajaan negeri, namun bantuan itu tiada lagi.
"Kami merayu kepada kerajaan negeri supaya tidak pinggirkan pengusaha teksi dan kereta sewa ini, bantuan kerajaan negeri sangat kami perlukan.
"Sekarang ini kami sedang membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan baucer RM100, namun perlu mengisi borang dan menyediakan pelbagai dokumen terlebih dahulu sebelum boleh membuat permohonan," katanya.
Justeru, Ravi berharap, bantuan yang disediakan kerajaan negeri dapat sampai kepada masyarakat marhean sepertinya yang sangat memerlukan demi kelangsungan hidup.