Enam sekeluarga yang tular akan berpindah ke rumah sementara

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

KUALA BERANG - Enam sekeluarga yang tinggal di sebuah rumah bot rosak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu akan berpindah ke rumah sementara disediakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Shamsuddin Khalid, 45, ketika ditemui pemberita pada Ahad berkata, dia akan berpindah ke sebuah rumah kosong di kuarters pekerja Ketengah di Lawit dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Iklan
Iklan

"Terima kasih banyak kepada Ketengah atas keprihatinan terhadap kami sekeluarga.

"Kami akan tinggal di sini sementara menunggu rumah yang dibina melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) siap sepenuhnya pada Oktober depan," katanya.

Iklan

Shamsuddin ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong Datuk Rozi Mamat pada Ahad.

Sementara itu, Razali berkata, rumah PPRT untuk keluarga berkenaan yang bernilai RM53,000 akan dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan mula dibina pada bulan depan.

Iklan

"Hari ini, kita bawa sedikit bantuan barangan keperluan untuk keluarga Shamsuddin dan akan memberi satu tab untuk kegunaan anaknya menjalani Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih selesa.

"Semoga perpindahan keluarga ini ke kuaters pekerja Ketengah sementara menunggu rumah PPRT siap memberi kehidupan yang lebih baik terutama untuk anak-anaknya," katanya.

Jumaat lepas, media melaporkan nasib malang enam sekeluarga terbabit yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan di sebuah rumah bot yang rosak sejak dua tahun lepas.

Shamsuddin tinggal di situ bersama isteri Nor Farhana Yusop, 30 dan empat anak mereka iaitu Nor Nadia Shahira, 11; Nor Syazlina Farahin, 9; Nor Azura Natasha, 7 dan Nor Farhan Iskandar yang berusia lapan bulan.

Sebelum itu, keluarga tersebut tinggal di sebuah rumah rakit di pinggir Tasik Kenyir selama 10 tahun kerana pekerjaan Shamsuddin sebagai pengusaha rumah bot memudahkannya memantau keluarga kerana banyak masanya dihabiskan di tasik berbanding di darat. - Bernama