Trucha fokus tingkatkan kecergasan Harimau Kumbang

Iklan
Barisan pemain dan pegawai Penang FC bersama petugas di Klinik Kesihatan Jalan Angsana selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Jumaat lalu. FOTO: FB PENANG FC

KETUA Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha memfokuskan sesi latihan pusat secara kuarantin ketika ini untuk meningkatkan tahap kecergasan anak-anak buahnya.

Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew berkata, sesi latihan yang kini memasuki hari kesembilan itu merangkumi dua proses latihan iaitu sesi latihan pagi dan petang atau sebelah malam di Padang Awam Jawi dan juga di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, para pemain menjalankan latihan secara individu di rumah masing-masing. Beliau (Trucha) memandang serius tahap kecergasan semua pemain dan ingin meningkatkan lagi persefahaman pasukan di dalam mahupun di luar padang.

"Trucha dan juga barisan jurulatih yang lain telah menyediakan program sepanjang 12 hari latihan pusat secara kuarantin ini diadakan.

Iklan

"Pergerakan pemain sepanjang latihan pusat adalah dengan menggunakan bas sepenuhnya iaitu dari hotel penginapan ke tempat latihan kemudian pulang semula ke hotel penginapan selepas sesi latihan,” katanya pada Ahad.

Namun, beliau berkata, para pemain Harimau Kumbang diberikan masa rehat pada Ahad kerana telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Jalan Angsana Jumaat lepas.

Iklan

Kata Jeffrey, seramai 37 pemain dan pegawai telah menerima dos vaksin yang pertama manakala beberapa pegawai yang selebihnya akan menerima suntikan pada 16 Julai ini.

"Kesemua pemain sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan mereka pasti lebih bersemangat selepas menerima suntikan vaksin dan akan terus fokus menjalani latihan,” katanya.

Tambahnya, persiapan Penang FC dalam menghadapi Liga Super 2021 tidak pernah berhenti walaupun semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pemain sentiasa dipantau dan diberikan program latihan dari masa ke masa.

Dalam pada itu, tiga pemain skuad Harimau Kumbang yang terlibat dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia FIFA 2022, iaitu Samuel Somerville (Malaysia), Sheriddin Boboev (Tajikistan) dan Ryuji Utomo (Indonesia) telah kembali ke Pulau Pinang dan turut menyertai sesi latihan bagi mengakhiri liga pada musim ini dengan lebih baik dan cemerlang. - Bernama