SHAH ALAM - Yayasan VFive dengan kerjasama Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi program #V5PIMPINPrihatin menyalurkan sumbangan bagi meraikan jasa petugas dan sukarelawan UiTM di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) UiTM.
Pengasasnya, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, jasa mereka perlu dihargai kerana sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi melancarkan proses vaksinasi rakyat Malaysia.
Menurut beliau, pihaknya merancang untuk menganjurkan program begini sebanyak lima kali dalam setiap dua minggu yang akan datang.
"Insya-ALLAH, kita mula menyalurkan sumbangan di UiTM pada hari ini dan akan meluaskan lagi sumbangan kepada PPV IPT-IPT lain di seluruh Malaysia.
"Kita harapkan lebih ramai golongan di luar sana khususnya mahasiswa dan graduan UiTM yang berkelapangan untuk sama-sama menjadi sukarelawan di PPV UiTM ini.
"Semoga inisiatif ini akan dapat membantu dan melancarkan usaha negara mencapai tahap imuniti kelompok secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sementara itu, beliau berkata, program tersebut turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, penjagaan jarak, penyediaan cecair sanitasi tangan dan pendaftaran MySejahtera.
Jelasnya, sumbangan tersebut bermula di PPV UiTM Puncak Alam yang disertai Rektor UiTM Cawangan Selangor, Prof Dr Ahmad Sazali Hamzah.
"Ia diteruskan lagi di PPV UiTM Shah Alam diiringi oleh Pemangku Naib Canselor, Prof Dr Roziah Mohd Janor,” ujarnya.