KOTA BHARU - Gara-gara mahu membeli iPhone secara 'online', seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerugian RM18,000 apabila ditipu semasa melakukan urusan tersebut dua minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, remaja berusia 18 tahun itu dikatakan telah tertarik dengan iklan melalui laman sosial Instagram tersebut yang menyatakan penjual adalah 'Trusted Seller'.
"Menambah lagi keyakinan mangsa, wang akan dipulangkan jika telefon yang diterima pelanggan adalah tidak asli," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurutnya, susulan itu mangsa telah membeli dua unit iPhone 12 selepas menghubungi peniaga yang menggunakan nombor telefon negara jiran.
Beliau berkata, mangsa pada mulanya diminta untuk membuat bayaran RM400 (harga promosi RM200 seunit) ke akaun bank tempatan yang didakwa milik peniaga tersebut.
Ahmad Azizul berkata, bagaimanapun pada 14 Jun lalu, suspek telah menghubungi mangsa dan memintanya membuat bayaran berjumlah RM6,000 ke dua akaun bank tempatan milik individu berbeza bagi tujuan kad jaminan telefon tersebut.
Katanya, dalam tempoh seminggu berikutnya, mangsa telah membuat beberapa lagi transaksi bayaran berjumlah RM12,000 ke tiga akaun bank tempatan milik individu berbeza sebagaimana arahan peniaga itu.
"Pada 23 Jun, mangsa telah menerima pesanan mesej melalui aplikasi WhatsApp dari satu nombor yang tidak dikenali dan mendakwa sebagai kononnya pegawai penguat kuasa negara jiran.
"Pegawai penguat kuasa itu mendakwa mangsa telah membeli barangan yang tidak dibenarkan eksport oleh pihak berkuasa negara berkenaan. Mangsa diminta membuat bayaran pelepasan RM5,000 ke satu akaun bank tempatan yang lain sekiranya masih berminat untuk mendapatkan telefon berkenaan," katanya.
Ahmad Azizul berkata, pada keesokan harinya (24 Jun), mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran pelepasan, tetapi kali ini ke satu akaun bank di negara jiran.
Katanya, merasakan telah ditipu mangsa terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis kerana masih belum menerima telefon yang dibelinya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.