BUKIT JALIL - Formula baharu kutipan tol yang diumumkan kerajaan bukanlah dedak PRK Dun Semenyih, sebaliknya ia tanggungjawab kerajaan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tidak logik jika mekanisme baharu kutipan tol ini didakwa dedak PRK Semenyih memandangkan bukan semua tol itu melibatkan penduduk Semenyih.
"Kita umumkan pengambilalihan lebuhraya bertol di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART namun, ia didakwa sebagai dedak PRK Semenyih.
"Tapi kalau kita lihat, bukan semua tol itu melibatkan penduduk Semenyih, ia banyak di luar, di kawasan bandar.
"Memang sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk cari jalan selesaikan masalah rakyat. Ini bukan hanya PRK dan lepas ini kita kena teruskan juga seperti yang kita janjikan dalam manifesto berkenaan tol berperingkat supaya kita dapat pastikan ia dilaksanakan berperingkat dan uniknya kali ini kita ikut dasar negara maju," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Pertandingan Boling Mesra Media Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu menjelaskan, dasar baharu kerajaan berkenaan formula kutipan tol iaitu diskaun 30 peratus pada waktu biasa dan caj kesesakan pada waktu puncak merupakan langkah mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.
ARTIKEL BERKAITAN: PH hapus mekanisme kutipan tol sedia ada, perkenal formula baharu
Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuhraya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti, warganet di media-media sosial mula mengeluarkan teori kononnya berita baik yang diumumkan Kerajaan PH ini sebagai dedak dan gula-gula PRK Semenyih yang akan berlangsung 2 Mac ini.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 terlalu sedikit, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, kerajaan PH sedang berusaha mencari jalan mengurangkan kos sara hidup dalam tempoh jangka masa panjang.
"Semua perkara dalam bab BSH ini Kementerian Kewangan kena ulas, tapi apa yang kerajaan akan buat, langkah demi langkah cari jalan kurangkan kos sara hidup dan dalam masa panjang.
"Selain itu turut memastikan peluang pekerjaan dapat dicipta di Malaysia,namun ia bersifat proses jangka masa panjang,” katanya.