Terus beri bantuan tunai kepada rakyat, kelangsungan peniaga

Iklan
Wan Saiful

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik makluman awal Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bahawa pakej bantuan baharu akan diwujudkan tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, bantuan yang bakal diumumkan itu akan memberi kelegaan kepada banyak pihak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelbagai cadangan telah disampaikan melalui saluran dalaman parti secara terus kepada Perdana Menteri termasuk menerusi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

"Armada Bersatu dengan konsisten memperjuangkan moratorium pinjaman dilanjutkan dan diperluaskan meliputi lebih banyak bentuk pinjaman serta prosesnya dipermudahkan.

Iklan

"Pemberian bantuan-bantuan tunai kepada rakyat juga seringkali ditimbulkan oleh para pemimpin Bersatu melalui perbincangan-perbincangan rasmi dan tidak rasmi.

"Dalam menghadapi tekanan hidup, amat penting kerajaan terus memberikan bantuan tunai dalam bentuk pemindahan wang tunai termasuklah juga penerusan i-Sinar.

Iklan

"Begitu juga dengan nasib para peniaga kecil. Banyak idea telah disuarakan secara langsung mengenai langkah-langkah yang kerajaan boleh ambil bagi membantu peniaga kecil dan usahawan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, golongan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang masih belum nampak akan berakhir ketika ini mungkin boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bakal mengumumkan sesuatu mengenai pemberian moratorium dan i-Sinar dalam waktu terdekat.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz setelah mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi-agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, kerajaan perlu menyediakan langkah yang baik bagi memastikan peniaga kecil boleh bertahan dan kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin.

"Antara perkara yang sering ditekankan ialah subsidi upah dan bantuan tunai untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan juga kelangsungan hidup peniaga.

"Saya pasti pakej baru yang akan diumumkan nanti akan mengambil kira idea-idea yang telah disuarakan.

"Kepada penggerak parti semua peringkat, saya harap kita akan terus menjadi saluran penting menyampaikan permintaan dan cadangan rakyat kepada pucuk pimpinan parti dan kerajaan,” ujarnya.