Isu Tok Pa langgar SOP: Pemilik restoran mohon maaf kongsi gambar

Iklan
Gambar tular Mustapa (dua dari kiri) sedang menjamu selera di sebuah restoran ketika mengadakan lawatan ke Kampung Kalai, Jeli.

JELI - Restoran AlFath Cafe memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya berkongsi gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed atau Tok Pa yang singgah ke premis berkenaan ketika mengadakan lawatan ke Kampung Kalai di sini baru-baru ini.

Permohonan maaf itu dimuat naik pemilik restoran berkenaan, Abdul Syafizi Sallah menerusi entri laman sosial AlFath Cafe.

Iklan
Iklan

Abdul Syafizi berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

"Saya menyerahkan perkara ini kepada pihak polis dan memohon warganet tidak membuat sebarang tohmahan negatif berkaitan isu tersebut," katanya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Langgar SOP: Mustapa mohon maaf, serah pada polis

Iklan

Abdul Syafizi bagaimanapun berkata, perniagaan AlFath Cafe mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu melibatkan jualan secara bungkus atau 'take away' sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, gambar yang menunjukkan Tok Pa yang juga Ahli Parlimen Jeli sedang makan di meja adalah untuk mencuba menu yang dihasilkan anak-anak Kampung Kalai selaku wakil rakyat kawasan berkenaan.

Iklan

Katanya, sebagai anak kampung, beliau sememangnya teruja dapat berkongsi kegembiraan itu kerana Mustapa antara watak penting dalam memberikan semangat kepada usahawan muda di Parlimen Jeli untuk mencipta kejayaan.

"Sokongan dan dorongan khususnya dalam mendigitalkan produk telah meningkatkan jualan sehingga premis berkenaan dikunjungi oleh pelanggan dari Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah walaupun terletak jauh di pedalaman.

"Selain itu, saya juga berkongsi masalah yang sedang dihadapi semasa pandemik Covid-19 ini. Tok Pa telah memberi kata-kata semangat untuk saya terus kekal bertahan dalam keadaan serba mencabar ini," ujar beliau.

Pada Ahad, Mustapa memohon maaf kerana melanggar SOP ketika berkunjung ke restoran berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.