Lima militia maut, AS serang sempadan Iraq-Syria

Iklan
Gambar imej satelit menunjukkan beberapa buah bangunan musnah dalam serangan udara Tentera Amerika Syarikat di sempadan Iraq-Syria pada Februari lalu. - Foto Maxar Technologies/Reuters

WASHINGTON - Lima orang terbunuh dalam beberapa serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat (AS) ke atas kemudahan-kemudahan yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan militia dekat sempadan Iraq dengan Syria pada Isnin.

Menurut badan Pemantau Untuk Hak-Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di London, terdapat sejumlah lagi militia yang cedera dalam serangan yang dilakukan oleh jet-jet tempur AS.

Iklan
Iklan

Dalam pada itu, agensi berita Syria, SANA melaporkan seorang kanak-kanak dan tiga orang lagi cedera dalam kejadian tersebut.

Menurut AFP, serangan itu disahkan oleh Pentagon menerusi satu kenyataan.

Iklan

Pentagon berkata, Presiden AS, Joe Biden telah meluluskan serangan udara yang dilancarkan ke atas kemudahan-kemudahan yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan militia yang mendapat sokongan dari Iran.

Setiausaha Akhbar Pentagon, John Kirby berkata dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut dilakukan selepas kumpulan-kumpulan tersebut menyerang kepentingan AS di Iraq, lapor AFP.

Iklan

Beliau dilaporkan berkata, kemudahan-kemudahan yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan tersebut juga didapati terlibat dalam serangan udara yang menggunakan pesawat tanpa juruterbang ke atas kakitangan-kakitangan tentera AS di Iraq.

Kirby menjelaskan bahawa tindakan AS itu sah di sisi undang-undang dan sebagai satu cara untuk Amerika untuk mempertahankan diri.

Katanya, Biden mengarahkan serangan itu berdasarkan kepada kuasa yang ada pada Presiden AS seperti yang termaktub dalam peruntukan Artikel II Perlembagaan negara tersebut dan bertujuan untuk melindungi anggota-anggota tentera Amerika di Iraq.

Pentagon berkata, kemudahan yang menjadi sasaran serangan itu pernah digunakan oleh kumpulan militia Kataib Hezbollah dan Kataib Sayyid al-Shuhada.

Seorang pegawai pertahanan AS memberitahu portal berita ABC News bahawa ia merupakan serangan kedua diarahkan oleh Biden sejak Februari lalu ke atas kumpulan-kumpulan militia sebagai tindak balas terhadap serangan roket. - Agensi