SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Ebit Lew yang kini masih berada di Gaza dalam misi kemanusiaan menghargai sokongan orang ramai membantu mempermudahkan bantuan kepada penduduk Palestin.
Menerusi perkongsian di Facebooknya pada Isnin, Ebit memaklumkan misi kemanusiaan itu berjalan lancar.
"Syukur pada ALLAH SWT, 'team' kami berada di Gaza, Palestin. Kami masuk dengan diiringi tentera Mesir dengan kereta berperisai sepanjang perjalanan.
"Menurut kedutaan Malaysia dan Unit perisikan Tentera Mesir, kami adalah kumpulan pertama dalam dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang 2021 baru-baru ini.
"Mesir sendiri telah banyak memberi bantuan dan mengetuai dalam membangunkan Gaza. Ada lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia sedang memohon. Sebahagian ada di Mesir. Doakan mereka semua dimudahkan ALLAH SWT supaya lebih ramai dapat dibantu," tulis Ebit.
Pada masa sama, Ebit turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak menghulurkan bantuan antaranya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan
"Terima kasih teramat sangat pada Datuk Seri Hishammuddin yang dari mula membantu 'team' kami. Setiap hari kami bermesej. Datuk Seri 'call' Kementerian Luar Mesir dan terus datang ke Mesir untuk membantu saya secara terus. Katanya, ustaz jaga 'team' kita ye. Walau terlambat seminit, betapa ramai yang memerlukan di Palestin menderita.
"Terima kasih wisma Putra, Datuk Ida Murni dan kedutaan besar Malaysia Mesir, Shahabudin dan 'team' yang sangat banyak membantu seolah-olah macam keluarga.
"Terima kasih Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sangat banyak membantu dan turut menyumbang bersama. Terima kasih selalu bertanya khabar. Terima kasih juga kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghubungi Presiden Mesir dengan menyebut tentang misi kami.
"Terima kasih Palestin Palestine Red Crescent society الهلال الاحمر الفلسطيني. Terima kasih Malaysian Red Crescent. Terima kasih Kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan," tulis Ebit di media sosial itu.
Ebit turut juga berkongsi perasaan sebaknya kerana katanya, seolah-olah seperti pulang ke kampung sendiri apabila berada di tanah Gaza.
"Sebak sayu terasa seperti balik kampung halaman sendiri. Mungkin dari kecil berdoa untuk rakyat Palestin. Kini dapat jejak kaki ke sini," kongsinya.
Beliau mengambil peluang memohon maaf kerana tidak dapat memaklumkan keadaannya sebelum ini di atas faktor keselamatan.
"Saya minta maaf tidak 'update' sebelum ini atas faktor keselamatan.
"Terharu apabila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent. Ramai berebut untuk menyambut. Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin.
"Sepanjang masuk 'border' Rafah cuma kedengaran semua ajak minum makan dan ke rumah mereka. Terasa seperti keluarga yang sangat dekat," tulisnya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Misi kemanusiaan Palestin Ebit Lew dapat kelulusan
Ebit Lew selamat tiba di Mesir misi bantuan di Gaza