KUALA LUMPUR - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memperkenalkan empat teknologi baharu berkaitan industri itu pada Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) 2021 yang akan diadakan secara maya pada 1 Julai ini.
Ketua Pengarah, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi itu melibatkan dua teknologi kawalan penyakit dalam ladang kelapa sawit, satu teknologi biojisim bagi kawalan pencemaran dari kilang sawit dan satu teknologi kejuruteraan ladang khusus untuk pangangkutan kelapa sawit segar.
"Seminar ini memberi peluang kepada semua pihak untuk melihat teknologi baharu dan juga teknologi lepas. Jika ada antara mereka yang berminat boleh hubungi MPOB untuk mendapatkan lesen bagi tujuan komersialkan teknologi MPOB ini.
"Kita bukan sahaja memberi kepakaran teknikal dan kemudahan penyelidikan malah kita akan membantu sehingga mereka berjaya komersialkan produk itu,” katanya ketika menjadi tetamu undangan dalam program ‘Koresponden Bernama’ di Bernama TV pada Isnin.
Beliau berkata, sehingga kini kadar pengkomersialan teknologi yang dihasilkan MPOB adalah 30.4 peratus dengan 216 daripada keseluruhan 704 teknologi yang dihasilkan MPOB telah berjaya dikomersialkan.
Ahmad Parveez berkata, MPOB mengalu-alukan penglibatan perusahaan kecil dan sederhana dalam seminar berkenaan bagi membolehkan pihaknya membantu mereka untuk meningkatkan ekonomi dari segi industri sawit.
TOT merupakan acara tahunan sejak 20 tahun lepas dengan ia berperanan sebagai platform penting untuk memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam industri sawit yang dibangunkan kumpulan penyelidik MPOB.
Penganjuran TOT setiap tahun adalah antara strategi MPOB untuk meningkatkan pengkomersialan teknologi.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar secara maya itu boleh membuat pendaftaran secara percuma dengan mengimbas kod QR di laman sesawang rasmi MPOB https://mpob.gov.my/uncategorized/27th-mpob-transfer-of-technology-tot-seminar-exhibition-2021. - Bernama