Bunuh diri: Masyarakat digesa ganda keprihatinan

Iklan
Zamri Hashim

IPOH - Jabatan Mufti Perak menggesa masyarakat supaya menggandakan keprihatinan dan sensitif kepada sebarang perubahan yang berlaku kepada anggota keluarga, jiran dan rakan-rakan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, usaha itu perlu dilakukan susulan kes bunuh diri dalam kalangan rakyat negara ini yang sangat membimbangkan ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

Menurutnya, komuniti masjid dan kejiranan juga perlu proaktif untuk memastikan ahli di dalam kawasan kejiranan mereka tidak berdepan masalah ketika tempoh ini.

"Bantu dengan meringankan bebanan mereka dan salurkan maklumat mereka kepada pihak yang boleh menyalurkan bantuan jika perlu.

Iklan

"Jangan biarkan mereka tidak terbela dan tidak dibantu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan digesa tangani kes bunuh diri: PUM

Iklan

Sementara itu, Jabatan Mufti Perak menjelaskan bahawa hukum membunuh diri adalah haram berdasarkan firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah, ayat 195.

Bagaimanapun, Islam mempunyai beberapa pendekatan dalam menangani tekanan dan masalah.

Antara yang boleh dilakukan termasuklah memohon bantuan dan pertolongan ALLAH dengan kesabaran serta mengerjakan solat.

Katanya, semua ujian dan masalah yang dihadapi adalah untuk menguji kesabaran manusia.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)