NEW YORK - Satu kejadian tembakan berlaku di Times Square, New York pada Ahad yang menyebabkan seorang lelaki berusia 21 tahun cedera akibat terkena terkena peluru sesat, kata polis.
Ketika kejadian, lelaki berkenaan berjalan bersama keluarganya melintasi Hotel Marriott Marquis di Broadway pada kira-kira jam 5.15 waktu tempatan, kata seorang jurucakap polis kepada AFP.
Menurutnya, lelaki itu sebenarnya bukannya menjadi sasaran serangan dalam kejadian berkenaan.
Polis berkata, ketika kejadian, salah seorang daripada sekumpulan penjaja kemudiannya melepaskan tembakan ketika mereka sedang bergaduh.
Lelaki berkenaan dan keluarganya pula berada tidak jauh dari tempat penjaja tersebut sedang bergaduh.
Mangsa ditembak di bahagian belakang badan.
Bagaimanapun, peluru tersebut tidak menembusi badannya dan lelaki tersebut tidak berada dalam kecederaan yang boleh mengancam nyawanya.
Lelaki berkenaan kemudian dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Polis sedang menyiasat kejadian itu dan masih tidak membuat sebarang tangkapan, kata jurucakap tersebut.
Ia berlaku selepas berlaku satu kejadian tembakan di Times Square pada Mei lalu yang menyebabkan seorang budak perempuan berusia empat tahun dan dua wanita cedera.
Suspek yang melepaskan tembakan tersebut kemudian ditangkap di Florida. - Agensi