Rumah Ngaji Johor gerakkan ‘food bank’

Iklan
Sukarelawan Rumah Ngaji Johor membungkus makanan asas untuk diagihkan kepada keluarga memerlukan. Gambar kecil: Roziah

JOHOR BAHRU - Inisiatif ‘food bank’ yang digerakkan Rumah Ngaji Johor sejak tiga minggu lalu telah berjaya membantu lebih 1,000 keluarga yang terjejas susulan Sekatan Pergerakan Penuh yang diumumkan kerajaan.

Timbalan Pengerusinya, Roziah Kamal berkata, usaha itu dibuat kerana terpanggil untuk turut sama membantu golongan yang memerlukan termasuk golongan miskin bandar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi menjayakan program itu, beberapa pusat ‘food bank’ ditempatkan di beberapa daerah dan diuruskan oleh Rumah Ngaji iaitu 12 pusat di Batu Pahat, enam di Johor Bahru, Kluang (empat), Pontian (dua) dan masing-masing satu di Mersing, Muar, dan Kulai.

"Selain aktiviti keagamaan, Rumah Ngaji memang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan dan kita bertuah kerana mendapat sokongan daripada orang ramai yang berterusan memberikan dana agar program ini dapat dijayakan.

Iklan

"Apa yang mengharukan, kita turut menerima bantuan pelbagai jenis barangan keperluan harian daripada orang ramai yang ingin sama membantu.

"Setiap keluarga yang menerima bantuan ini akan mendapat makanan asas seperti beras, tepung, gula, telur, kicap, mi segera dan seumpamanya.

Iklan

"Kita sedar sejak PKP tahun lalu, ramai yang terjejas dan ini adalah antara usaha kita untuk membantu mereka yang memerlukan pada waktu sukar ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Food Bank Rumah Ngaji Johor

Jelas Roziah, sejak pelaksanaan PKP tahun lalu, Rumah Ngaji Johor membelanjakan hampir RM300,00 bagi membantu barisan hadapan dan golongan memerlukan, selain bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Johor.

Katanya, antara bantuan yang diberikan kepada barisan hadapan termasuklah pakaian perlindungan diri (PPE) dan keperluan peralatan bagi pesakit kronik.

"Hasil daripada dana orang ramai ini, kita membelikan peralatan mesin perubatan dan diberikan kepada beberapa hospital seperti Hospital Kluang, Hospital Sultan Ismail.

"Selain bantuan perubatan, kita turut menghantar kotak makanan dan ‘incubation box’ ke hospital-hospital di negeri ini dan luar Johor sebagai menghargai pengorbanan mereka dan membantu keperluan di hospital,” ujarnya.

Justeru katanya, mana-mana individu yang ingin turut menyumbang kepada ‘food bank’ Rumah Ngaji Johor dan bantuan kebajikan, boleh salurkannya ke akaun Maybank 5511 3753 3259 Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor.