KUALA LUMPUR - Moratorium pinjaman kepada semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) serta isi rumah B40 dan M40 selain moratorium bersasar sekurang-kurangnya tiga bulan atau pengurangan bayaran pinjaman 50 peratus selama enam bulan kepada individu adalah diperlukan bagi memastikan jaringan keselamatan sosial dan perniagaan.
Menurut EMIR Research, sambutan hebat dari segi permohonan serta manfaat bantuan itu kepada banyak pihak berikutan prospek ekonomi yang dijangka mencabar menunjukkan moratorium pinjaman perlu dilanjutkan kepada moratorium menyeluruh sehingga enam bulan.
"Sasarannya adalah untuk menyediakan jaringan keselamatan kepada mereka yang berisiko terhadap penutupan aktiviti ekonomi dan pengangguran yang berpanjangan,” menurut kumpulan pemikir itu dalam nota penyelidikan pada Isnin bertajuk ‘Exit Strategy Building Blocks for Malaysia’ bahagian pertama.
Menurutnya, moratorium sebenar yang membantu peminjam sewajarnya tidak mempunyai ruang untuk amalan mengenakan faedah tambahan sepanjang tempoh moratorium dengan pelunasan semula jadual bayaran pinjaman sebaik sahaja moratorium berakhir.
Di bawah amalan itu, jumlah kutipan bahagian faedah atau keuntungan yang diketepikan bank semasa tempoh moratorium telah ditambahkan kepada baki awal menyebabkan jumlah ansuran bulanan adalah lebih tinggi berbanding semasa pra-moratorium, katanya.
"Perlu ditegaskan bahawa peminjam tidak ingkar untuk membayar pinjaman mereka, bayaran hanyalah ditangguhkan dan dengan syarat peminjam menyambung semula dan menamatkan semua bayaran mereka mengikut jadual, bank tidak akan kehilangan untung sebenar mereka.
"Bagaimanapun, bank akan mencatatkan beberapa kerugian perakaunan disebabkan penilaian semula pinjaman yang belum dilunaskan,” menurut EMIR Research.
Di bawah Standard Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS 9), bank perlu menunjukkan nilai saksama pinjaman dalam buku mereka berdasarkan formula nilai kini (PV).
Sehubungan itu, katanya, nilai saksama bagi pinjaman belum lunas akan dikurangkan berikutan tempoh yang baharu dilanjutkan susulan moratorium dan bank akan mengalami kerugian dari segi PV dengan menangguhkan kutipan mereka untuk tempoh yang lebih lewat.
Menurutnya, menerima bayaran balik lebih lewat daripada yang dijadualkan sebelum ini boleh menjejaskan nisbah kecukupan modal bank kerana ia perlu meningkatkan peruntukannya untuk pinjaman yang dijangka gagal dibayar, sekali gus mewujudkan kos lepas kepada bank.
"Pada 2019, perlindungan kerugian pinjaman adalah 90 peratus dan pada 2020 pula, ia meningkat kepada 140 peratus. Bagaimanapun, ia tidak mempengaruhi keuntungan,” katanya. - Bernama