Tindakan tegas anjur, sertai sebarang perhimpunan: Polis

Iklan
Gambar kecil: Zainal Abidin

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu video berdurasi dua minit 40 saat yang disebarkan melalui media sosial mengajak orang ramai berkumpul di beberapa lokasi pada jam 12 tengah hari Rabu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, buat masa ini aktiviti sosial yang boleh menyebabkan orang ramai hadir hingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan tidak dibenarkan.

Iklan
Iklan

"Kita akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), ke atas pihak yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara," katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Zainal Abidin memberitahu, SOP MKN mengenai pergerakan dan penganjuran aktiviti sosial masih berkuat kuasa antaranya tiada rentas sempadan negeri dan daerah kecuali bagi tujuan yang dibenarkan.

Iklan

"Dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar hanya untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, penokok diet dan keperluan asas dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman mereka," katanya.

Tambah beliau, maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan dan kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman atau ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius tersebut.

Iklan

"Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya.

Zainal Abidin turut menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan bahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar SOP MKN dan mengakibatkan penularan wabak Covid-19.