PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan pemberian bantuan tunai langsung kepada semua golongan yang memerlukan berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan tunai ini merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.
"Semasa pengumuman Pemerkasa Tambahan yang lalu, kerajaan bersetuju untuk memberi bayaran tambahan bagi BPR sehingga RM500 pada bulan Julai dan bayarannya akan dibuat secara berperingkat mulai Selasa, 29 Jun.
"Bagi BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada bulan September nanti manakala bulan September pula akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR.
"Jadi secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah RM4.9 bilion,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Bagi pemberian BKC, Muhyiddin berkata, ia dijangka akan memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu, warga emas serta individu bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Beliau berkata, pertamanya isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan RM500 pada Ogos dan September manakala RM300 pada Disember.
Katanya, individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.
"Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan RM200 pada Ogos.
"Isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250 manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada Ogos,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, bagi Bantuan Kehilangan Pendapatan pula, sebanyak RM500 akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).