PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan pemberian moratorium secara automatik selama enam bulan kepada semua peminjam sama ada daripada golongan B40, M40, T20 dan usahawan mikro.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada kehilangan pekerjaan dan dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
"Anda cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik. Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, permohonan tersebut akan dibuka pada 7 Julai ini dan peminjam hanya perlu memohon serta menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.
"Saya berharap inisiatif moratorium ini sedikit sebanyak dapat membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.
"Bagaimanapun, saya juga ingin berpesan agar gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” jelasnya.