ALOR SETAR - Seorang warga emas yang berpakaian serba putih menjadi perhatian ramai ketika hadir untuk menerima suntikan vaksin Sinovac di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kedah Medical Centre (KMC), di sini pada Isnin.
Warga emas, Hashim Mustafa, 86, yang turut dikenali sebagai 'Mr White' hadir dengan mengenakan baju, seluar, kasut dan lebai berwarna putih sambil ditemani anak perempuannya, Haslina Hashim, 53.
Hashim berkata, dia yang merupakan bekas guru sememangnya mengemari warna putih dan tidak mahu melepaskan peluang menerima suntikan vaksin Covid-19 sambil memakai pakaian dengan warna kesukaannya.
"Saya berpakaian serba putih demi mengingati hari menerima suntikan vaksin," katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama pembukaan PPV KMC, di sini pada Isnin.
Seorang lagi penerima vaksin, Sodah Ahmad, 86, berkata, dia tidak takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun usianya telah lanjut dan menghidap beberapa penyakit termasuklah kencing manis.
"Saya harap semua turut mendaftar untuk menerima suntikan seperti saya," katanya yang ditemani anak lelakinya, Zakaria Zubir, 63.
Turut menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV KMC berkenaan ialah warga emas, Khadijah Abdullah, 86, dari Alor Merah yang mengalami strok sebelah badan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Sementara itu, menurut Pengarah Perubatan KMC, Datuk Dr Kamaruzaman Ali, hospital berkenaan telah terlibat di dalam Fasa Pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak Mac 2021 dan telah merekodkan seramai 2,078 penerima vaksin dalam kalangan petugas barisan hadapan termasuk doktor dari klinik swasta, pusat hemodialisis, badan bukan kerajaan (NGO) dan guru.
"KMC akan memberi vaksin kepada 100 orang setiap hari bermula Isnin hingga Jumaat dengan menempatkan 40 petugas khas untuk melancarkan proses vaksinasi dengan mengutamakan keselamatan dan keselesaan penerima vaksin serta memastikan semua pihak patuh terhadap SOP yang telah ditetapkan," katanya.
Dr Kamaruzaman turut menasihatkan orang awam untuk membuat pendaftaran bagi mendapatkan vaksin dengan segera melalui aplikasi MySejahtera, sentiasa semak status janji temu dan hadir ke PPV seperti ketetapan yang diberikan.