Kedah digesa beri diskaun cukai, pengecualian bayaran lesen

Iklan
Penutupan sektor ekonomi yang tidak dibenarkan menyebabkan pengusaha hilang sumber pendapatan. Gambar hiasan

ALOR SETAR - DAP Kedah meminta kerajaan negeri mempertimbangkan dengan serius pengurangan 50 peratus cukai pintu dan pengecualian bayaran lesen perniagaan bagi semua kategori ekonomi bukan keperluan yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang fasa pertama Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong berkata, kini telah memasuki 130 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) misalnya di daerah Kota Setar dari Januari sehingga 28 Jun 2021.

Iklan
Iklan

Katanya, penutupan sektor ekonomi yang tidak dibenarkan seperti spa, salun kecantikan, kedai gunting rambut, penjaja pasar harian serta pasar malam dan sebagainya telah menyebabkan pengusaha hilang sumber pendapatan.

"Kesemua pengusaha ini menghadapi tekanan berat kerana kos operasi tetap berjalan seperti biasa memandangkan pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP yang berpanjangan.

Iklan

"Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus berhenti menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk tuntutan bayaran lesen atau hasil kerajaan tempatan mengikut jadual dalam keadaan ekonomi kian lembab dengan kadar pengangguran serta kehilangan pekerjaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Swee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darulaman berkata, PBT harus beri kelonggaran untuk berbincang dengan PKS yang gagal bayar cukai taksiran atau segala bayaran yang ada.

Iklan

Tambahnya, pengurangan cukai terhadap lesen, pelaksanaan moratorium dan kaedah secara bayaran ansuran harus diberi kepada PKS yang terkesan.

"Sekatan atau penutupan premis perniagaan selama 130 hari bagi tempoh pelaksanaan PKP dikhuatiri akan menyebabkan lebih 90 peratus perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berisiko ditutup," katanya.

Katanya, disebabkan itu, kerajaan negeri digesa menggunakan peruntukan sedia ada untuk membantu PBT melaksanakan pengurangan 50 peratus cukai pintu dan pengecualian bayaran lesen perniagaan selama setahun bagi tahun 2021.

Menurut beliau, bantuan ini dapat meringankan beban peniaga PKS yang kini sedang bergelut dan sekali gus membantu golongan pekerja melalui masa yang sukar ini.