KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memperincikan mekanisme pelaksanaan pembiayaan mikrokredit.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia dijangka akan memberi fokus khas kepada usahawan mikro dalam bidang bukan perlu seperti spa & wellness, refleksiologi, gunting rambut, selepas bersalin, pengurusan acara, katering serta kedai buku dan alatulis yang benar-benar terkesan dengan impak Covid-19 dan penguatkuasaan sekatan pergerakan.
"Usahawan dalam bidang bukan perlu ini menghadapi cabaran yang getir kerana perniagaan mereka ini adalah yang terawal ditutup dan yang terakhir dibenarkan beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mulai tahun lepas sehinggalah penguatkuasaan sekatan pergerakan pada masa ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disiarkan secara langsung, pada Isnin.
Katanya, MEDAC berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan sejumlah RM100 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) bagi membantu perusahaan mikro dalam memulihkan perniagaan mereka selain turut menghargai keprihatinan kerajaan dalam menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi membantu memulihkan sektor koperasi.
"Selain itu, inisiatif bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0, lanjutan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0, kemudahan moratorium dan lanjutan diskaun bil elektrik juga akan dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh usahawan,” katanya.
MEDAC komited dan bersedia dalam memastikan pelaksanaan inisiatif yang diumumkan sampai kepada semua golongan usahawan yang terkesan.
Dalam kenyataan berasingan, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) memuji bahawa keputusan untuk membenarkan moratorium pinjaman enam bulan kepada semua individu dan perusahaan mikro adalah tepat.
Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan, Datuk William Ng bagaimanapun, merayu kepada kerajaan supaya memanjangkan moratorium itu secara automatik kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan bukan sekali lagi menyerahkan keputusan kepada pihak bank untuk meluluskan permohonan moratorium secara kes mengikut kes.
"Kebanyakan PKS mengalami masalah mendapatkan moratorium kerana pihak bank menyenaraihitamkan mana-mana peminjam yang tercicir bayaran.
"Ini mengakibatkan banyak permohonan PKS ditolak, bahkan sebelum permohonan mereka dimasukkan ke dalam sistem,” katanya. - Bernama