Bursa cecah paras terendah dalam tempoh hampir lapan bulan

Iklan
Gambar hiasan 123RF

KETIDAKTENTUAN mengenai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan kes jangkitan Covid-19 harian yang kekal melebihi paras 4,000 terus mempengaruhi pasaran saham, dengan indeks utama mencecah paras terendah sejak November 2020.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 14.97 mata kepada 1,544.71 daripada 1,559.68 semasa ditutup pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Saham pandu pasaran dibuka rendah 2.22 mata kepada 1,557.46 dan bergerak antara 1,539.60 dan 1,557.58 sepanjang sesi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 976 berbanding 133, manakala 342 kaunter tidak berubah, 786 tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Iklan

Jumlah dagangan merosot kepada 4.73 bilion unit bernilai RM2.41 bilion daripada 5.41 bilion unit bernilai RM2.56 bilion pada Jumaat lepas.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, sentimen terjejas dengan ketara oleh ketidaktentuan mengenai pembukaan ekonomi dengan lanjutan sekatan pergerakan semasa.

Iklan

Selain itu, data eksport terkini Malaysia bagi Mei 2021, yang naik sebanyak 47.3 peratus tahun ke tahun, gagal memberi dorongan kepada pasaran.

"Didapati penurunan utama dalam FBM KLCI ialah Sime Darby dan Top Glove, masing-masing merosot sebanyak 2.7 peratus dan 2.8 peratus hari ini.

"Mengikut sektor, Indeks Tenaga Bursa Malaysia susut paling tinggi sebanyak 2.2 peratus berikutan kegelisahan meningkat menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada 1 Julai, apabila kumpulan itu akan memutuskan sama ada akan mengurangkan lagi pengeluaran,” katanya kepada Bernama.

Pada 5 petang, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion termasuk suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion untuk membantu rakyat.

Adam berkata, reaksi terhadap pakej tersebut mungkin bercampur-campur berikutan Malaysia dijangka menghadapi penurunan penarafan disebabkan jumlah usaha rangsangan yang besar.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, hanya PChem dan Genting Malaysia kekal dalam julat positif, masing-masing naik 12 sen kepada RM8.12 dan tiga sen kepada RM2.86. RHB Bank tidak berubah pada RM5.42.

Top Glove susut 12 sen kepada RM4.23, CIMB berkurangan lapan sen kepada RM4.61, Press Metal merosot sembilan sen kepada RM4.79 dan Public Bank turun empat sen kepada RM4.15.

Daripada saham aktif, Serba Dinamik merosot 8.5 sen kepada 32.5 sen, manakala Fintec dan Dagang NeXchange, masing-masing berkurangan setengah sen kepada tiga sen dan 72.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 117.06 mata kepada 11,217.34, Indeks FBMT 100 berkurangan 107.13 mata kepada 10,937.97 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 138.28 mata kepada 12,247.48.

FBM ACE susut 226.26 mata kepada 6,995.54 dan FBM 70 berkurangan 146.30 mata kepada 14,473.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 122.74 mata kepada 15,156.97, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.03 mata kepada 186.95 dan Indeks Perladangan jatuh 91.37 mata kepada 6,431.03.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 3.26 bilion saham bernilai RM2.09 bilion daripada 3.05 bilion saham bernilai RM2.13 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 186.30 juta unit bernilai RM14.55 juta daripada 249.59 juta unit bernilai RM24.79 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.29 bilion saham bernilai RM295.27 juta daripada 2.11 bilion saham bernilai RM408.49 juta sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 505.17 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (754.85 bilion), pembinaan (198 juta), teknologi (341.86 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.65 juta), hartanah (214.98 juta), perladangan (24.27 juta), REIT (5.26 juta), dana tertutup (54,300), tenaga (917.79 juta), penjagaan kesihatan (42.44 juta), telekomunikasi dan media (84.75 juta), pengangkutan dan logistik (65.52 juta) dan utiliti (35.29 juta). - Bernama