BARU-baru ini, satu lagi kenyataan dibuat oleh seorang menteri sehingga mengundang kemarahan orang.
Ketika diwawancara, menteri itu begitu teruja menjelaskan kerajaan sehingga hari ini mengawal pandemik Covid-19 dengan berjaya.
Memang seperti tidak percaya apa yang didengar. Tapi itulah sebenarnya diperkatakan oleh menteri itu dengan nada rasa bangga dan gembira.
Sambil menafikan kegagalan kerajaan, beliau turut memberi contoh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai petunjuk kerajaan dalam mengawal pandemik.
Selain itu, beliau tidak lupa meminta rakyat membandingkan jumlah kes jangkitan di Malaysia dengan negara lain, khususnya negara yang lebih maju teknologi dan sains perubatannya.
Kita memang setuju dan nampak kesungguhan yang dilakukan kerajaan dalam membendung Covid-19 lebih setahun lalu.
Tetapi kalau hendak katakan suatu kejayaan, ia sebenarnya terlalu awal untuk diraikan. Perjalanan masih panjang lagi untuk petugas-petugas barisan hadapan bertarung nyawa menyelamatkan para pesakit.
Kita harap menteri berkenaan dan begitu juga menteri-menteri lain apabila bercakap, bercakaplah mengikut fakta dan berpijak di bumi yang nyata.
Seseorang menteri janganlah terlalu mengutamakan kepentingan politik ketika menjalankan tugas. Kalau tidak, tidak sukar kita mendapati ada menteri yang selalu bersikap ‘masuk bakul angkat sendiri’.
Sejauh mana kerajaan hari ini berjaya membela nasib rakyat atau tidak, rakyat sendiri tahu menilai. Tepuk dada tanya selera.
Tanggungjawab kerajaan sesungguhnya belum tamat. Belum ada kejayaan yang boleh dibanggakan.
Selagi Covid-19 masih menular, lebih-lebih lagi kemunculan varian baharu, selagi itulah kita perlu perang habis-habisan.