PEMAIN tengah Jerman, Kai Havertz mahu memastikan aksi kalah mati berdepan England di Stadium Wembley pada Rabu diselesaikan dalam tempoh 90 minit.
Menurut Havertz, skuad Die Mannschaft itu juga tidak melakukan sebarang latihan sepakan penalti kerana tidak mahu aks tersebut berlanjutan sehingga masa tambahan atau ke penentuan sepakan penalti.
"Kami mahu memenangi perlawanan berkenaan dalam tempoh 90 minit. Pada peringkat ini, mungkin perlawanan akan berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.
"Bagaimanapun, kami juga telah melakukan persediaan dan setiap kali selepas latihan, kami akan mengadakan sesi sepakan penalti bagi melihat pemain boleh menyempurnakan sepakan penalti dengan baik.
"Apa pun, ia bukannya satu isu besar kerana tempoh 120 minit perlawanan sebelum itu adalah jauh lebih penting berbanding meletakkan tekanan kepada diri sendiri (penentuan sepakan penalti) ia sesuatu yang tidak baik,” katanya.
Terdahulu, pertahanan England, John Stones mendedahkan skuad The Three Lions itu giat berlatih mengambil sepakan penalti sebagai persediaan sekiranya aksi kalah mati antara kedua pasukan berkenaan berakhir hingga ke penentuan sepakan penalti.
Untuk rekod, Jerman pernah menewaskan England 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Wembley pada aksi separuh akhir Euro 1996.
Havertz turut mengingatkan rakan-rakan sepasukan untuk berwaspada dengan ancaman England yang disifatkannya sebagai antara pasukan yang konsisten pada Euro 2020.
Katanya, skuad kendalian Gareth Southgate itu juga masih belum dibolosi setakat ini dan ia menggambarkan kekentalan benteng pertahanan skuad The Three Lions itu.
"Ia sesuatu yang tidak betul jika kita memandang rendah keupayaan mereka. Kami pun tahu mengenai England yang memiliki sebahagian besar pemain-pemain bola sepak terbaik di dunia.
"Jadi, kami melihat perlawanan ini sebagai perlawanan yang istimewa, namun kami perlu memenanginya,” katanya.