KUANTAN- Penularan pandemik Covid-19 yang memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan amat memberi kesan kepada kehidupan seorang ibu tunggal apabila perniagaan makanan sejuk beku yang diusahakan secara kecil-kecilan terjejas teruk.
Meskipun terpaksa menghadapi pelbagai kesukaran untuk meneruskan kehidupan, Aishah Tan, 42, yang merupakan seorang mualaf tetap cekal menghadapinya demi tiga anak perempuan yang masih bersekolah.
Ibu tunggal dari Lorong Tiram Jaya 5, Taman Tiram Jaya di sini itu bergantung sepenuhnya kepada hasil perniagaan yang diusahakan untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
"Saya hanya mengusahakan jualan produk dimsum, yong tau foo dan dumpling sejuk beku secara kecilan di rumah namun sejak PKP, perniagaan benar-benar merosot kerana ketiadaan pelanggan.
"Sedangkan daripada hasil perniagaan ini sahaja saya guna untuk membayar sewa rumah, bil dan menampung perbelanjaan keluarga seharian," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Aishah berkata, apa yang lebih diharapkan ketika ini sokongan orang ramai agar perniagaan yang diusahakan itu kembali pulih dan mampu menampung kehidupan dia dan anak-anak berusia dua hingga 17 tahun.
Menurutnya, dalam keadaan sukar ketika ini, dia tidak mengharapkan bantuan sebaliknya cuba sedaya upaya untuk berdikari.
"Saya bersyukur dan berterima kasih bila ada pihak yang datang menghulurkan bantuan makanan dan sebagainya tapi ada yang saya tolak dengan baik dan minta diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan.
"Buat masa ini yang lebih diharapkan sokongan orang ramai untuk membantu mempromosi produk saya supaya lebih ramai pelanggan datang membeli," ujarnya yang memeluk Islam sejak 18 tahun lalu.
Aishah berkata, setakat ini dia hanya bergantung kepada pelanggan yang datang membeli produk dijual di rumah semata-mata.
"Saya tidak mampu untuk membuka kedai atau menyediakan khidmat penghantaran kerana perniagaan ini diusahakan seorang diri.
"Alhamdulillah, saya tidak bersendirian kerana ada pihak yang prihatin terhadap nasib saya ini tampil membantu secara langsung dan tidak langsung terutama rakan-rakan, keluarga dan beberapa pertubuhan," katanya.
Di sebalik kepayahan yang dilalui, Aisyah tidak menyalahkan takdir sebaliknya menerima dugaan itu sebagai ujian ALLAH untuk menguji kesabaran dan keimanannya.
"Saya sedar dalam tempoh PKP ini ramai yang terjejas dan ada yang jauh lebih teruk berbanding apa yang saya lalui.
"Sebab itu saya reda dan tidak patah semangat untuk berjuang demi kelangsungan hidup kami empat beranak," katanya.
Kecekalan ibu tunggal itu turut mendapat perhatian Pertubuhan Makmur Relief.
Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, beliau menyantuni wanita itu pada Ahad untuk menghulurkan bantuan selepas mendapat maklumat tentang kepayahan yang dilalui.
"Kami cukup tersentuh dengan kecekalan semangatnya untuk meneruskan kehidupan walaupun dalam keadaan perniagaannya terjejas teruk.
"Selepas mendengar permasalahan dihadapi, kami cuba membantu supaya perniagaannya kembali bertahan dalam situasi PKP ketika ini," katanya.
Menurutnya, pihak Makmur Relief setuju untuk membantu mempromosikan perniagaannya termasuk menyediakan pelekat bungkusan dan banting promosi.
"Dia menghadapi masalah untuk menyediakan kerana kedai cetakan ditutup ketika ini.
"Insya-ALLAH kita akan lihat bentuk bantuan lain yang sesuai supaya perniagaannya lebih dikenali dan mampu menarik ramai pelanggan untuk datang membeli," katanya.