SHAH ALAM - Nasib lebih 700 belia yang mengusahakan kedai gunting rambut ‘hipster’ semakin berliku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada bulan Mac tahun lalu, sehinggakan ada antara mereka terjebak dengan pinjaman ah long.
Hakikat itu didedahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera, T N Winda Mohd Tahir yang menganggarkan 70 peratus daripada keseluruhan 1,000 ahli persatuannya terjejas teruk sumber pendapatan kerana tidak dibenarkan beroperasi oleh kerajaan.
Jelas beliau, kebanyakan usahawan belia yang terbabit dalam perniagaan gunting rambut berumur 25 hingga 40 tahun dan apabila PKP total lockdown terus bersambung selepas 28 Jun, majoriti golongan ini makin tersepit.
"Berdasarkan situasi semasa, 30 peratus ahli kami yang merupakan pemilik kedai gunting rambut sudah merancang untuk mengubah model perniagaan memandangkan mereka masih perlu menanggung kos sewa premis kedai bulanan serta gaji pekerja.
"Lebih memilukan, ramai dalam kalangan kami yang sudah meminjam ah long dan terpaksa dibantu ahli-ahli persatuan untuk menyelesaikan hutang mereka.
"Hal ini disebabkan mereka sudah tiada kemampuan kewangan untuk membayar kos operasi kedai, pinjaman perniagaan, ansuran bulanan kenderaan serta rumah,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Sektor perkhidmatan gunting dan dandanan rambut adalah merupakan antara jenis perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 bermula 1 Jun lalu.
Berikutan itu, T N Wandi berharap kerajaan dapat membenarkan kembali kedai gunting rambut beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang sangat ketat, sekali pun PKP dalam masa terdekat.
"Kerajaan kena ada usaha mengkaji semula SOP bagi perkhidmatan gunting rambut agar ia kembali dibenarkan beroperasi pada tempoh PKP. Ini kerana khidmat gunting rambut adalah keperluan rakyat Malaysia bagi memastikan penampilan mereka lebih kemas dan bersih.
"Mungkin kerajaan boleh membenarkan premis beroperasi secara berkala, contohnya tiga hari seminggu dengan syarat SOP ketat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 200 farmasi ‘gulung tikar’ kerana kurang pelanggan
Pakej bantuan perlu sampai kepada sasaran, bukan hiasan