SAINGAN Liga Bola Sepak Amatur (AFL) memutuskan untuk menunda saingan Liga M3 bagi musim 2021 susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Pelan Pemulihan Negara (PPN), sebagaimana yang diumumkan kerajaan.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, sepak mula bagi saingan peringkat kumpulan Liga M3 sepatutnya bermula 4 Jun lalu, telah ditunda dan dijangka bakal berlangsung pada awal September.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun menurutnya, segala keputusan berhubung perkara berkenaan adalah bergantung kepada situasi semasa khususnya membabitkan perkembangan terkini terhadap peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
"Memandangkan situasi pandemik dalam negar masih belum pulih sepenuhnya, AFL terpaksa menunda saingan Liga M3 2021 bagi memastikan keselamatan untuk semua pihak.
"Selain itu, AFL juga sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan dari semasa ke semasa untuk memastikan pertandingan ini dapat diadakan secepat mungkin," katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin.
Sementara itu difahamkan, dalam usaha untuk memperkasakan pasukan bola sepak di peringkat amatur, AFL akan mengadakan beberapa program berkaitan secara dalam talian bersama pasukan-pasukan yang terlibat.
Program berkenaan akan dijalankan menerusi usahama bersama pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).