KUANTAN - Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (Masti) mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menilai semula penggunaan istilah ‘staf bukan akademik’ di universiti awam di negara ini.
Masti mencadangkan istilah Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Bukan Akademik) ditukar kepada nama baharu iaitu Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pentadbir Profesional).
Presiden Masti, Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, seiring dengan latar belakang akademik, peningkatan profesionalisme dan kerjaya pentadbir universiti sebagai perancang serta pembuat dasar bersama kumpulan akademik juga pelaksana, Masti akan terus memperkasakan bakat pentadbir melalui pengurusan bakat berasaskan kompetensi (CBTM) dan menjalinkan hubungan strategik dengan semua pihak berkepentingan.
"Usaha ini diharap dapat meningkatkan keilmuan dan profesionalisme dalam menghadapi perubahan baharu di era yang semakin mencabar ini.
"Semoga ekosistem tadbir urus yang baik di universiti awam akan terus mendukung dan merealisasikan inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, peranan staf akademik dilihat lebih ke depan dan pensyarah pula mempunyai hubungan rasmi dengan pengajaran dan pembelajaran bersama mahasiswa.
Jelasnya, sebaliknya staf pentadbiran ‘bukan akademik’ dilihat tidak terlibat secara langsung kerana tugasan hakiki lebih kepada proses melaksanakan sistem atau tadbir urus yang menyokong ke arah mempermudahkan operasi.
Sehubungan itu, beliau menambah, dalam konteks Pentadbir Universiti yang dikategorikan staf ‘bukan akademik’ amatlah terkesan dengan istilah digunakan.
"Mereka seolah-olah menggambarkan pegawai di universiti yang tidak mempunyai ‘kelulusan akademik’ dan tidak layak memegang jawatan strategik dan melaksanakan tugas yang sama pentingnya dalam memacu kecemerlangan universiti.
"Semua pentadbir universiti Kumpulan Pengurusan dan Profesional memiliki sekurang-kurangnya Sarjana Muda semasa pelantikan pertama seperti disyaratkan JPA atau memerlukan sijil khas dalam pelantikan.
"Malah mengikut rekod sehingga tahun 2020, seramai 120 orang pentadbir Universiti Awam memiliki Doktor Falsafah dalam peningkatan profesionalisme di universiti masing-masing,” katanya.
Sementara itu, katanya, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan bagi menyokong usaha pengurusan yang menilai pelbagai kompetensi kepimpinan dalam menyediakan kelompok pemimpin universiti yang kompeten menerajui portfolio berimpak.
"Jika dilihat kepada perkembangan kerjaya ini, tidak wajarlah istilah staf ‘bukan akademik’ digunakan kepada golongan pentadbir universiti,” katanya.