KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi jaminan langkah kerajaan untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya dalam mengurangkan kos pengangkutan, tidak akan menjejaskan projek berkepentingan rakyat yang lain.
Beliau berkata langkah kerajaan memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART seiring manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lepas.
"Ini komitmen kita dalam pilihan raya umum yang lalu, namun rundingan dan perbincangan sedang berjalan supaya ia dapat dibuat secara berperingkat kerana kesan kepada kewangan negara adalah besar.
"Kita harus memastikan ia tidak akan menjejaskan pembangunan ekonomi lain sementara kita ingin laksanakan manifesto, kita juga mahu pembangunan ekonomi terus berkembang," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Mohamed Azmin sebelum itu mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan melawat Hotel Tamu & Suites di Kampung Baru, di sini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata jangkaan kos untuk tujuan berkenaan masih dalam peringkat rundingan dan kementerian terlibat akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja semua urusan selesai.
"Perbincangan sedang berjalan, kementerian berkenaan akan keluarkan kenyataan sebaik sahaja semua urusan ini selesai, komitmen kita jelas...(namun) semua perkara perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu komitmen ini menjejaskan perkara lain yang perlu diberi perhatian," katanya.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan telahpun memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.
Menurut kenyataan tersebut, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.
Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari. - Bernama