Insiden tertukar bayi boleh tinggal kesan trauma: Pakar

Iklan
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

KUALA LUMPUR - Insiden tertukar bayi ketika dilahirkan 20 tahun lepas dipercayai berlaku akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan, boleh meninggalkan kesan trauma emosi serta mengganggu tingkah laku, bukan sahaja kepada ketiga-tiga mangsa tetapi juga kedua-dua keluarga terlibat.

Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kesemua pihak yang terlibat, pastinya memerlukan masa yang lama untuk menerima hakikat kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Jika tiga mangsa berkenaan dan keluarga mereka reda dan positif dengan apa yang berlaku, kesan trauma akan dapat dihadapi dengan lebih cepat.

"Bagaimanapun, saya menasihati mereka supaya mendapatkan khidmat kaunseling yang bertauliah supaya dapat menyantuni emosi mereka secara praktikal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama sebelum ini berkenaan dua keluarga terpaksa mengharungi kisah tragis apabila tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar tertukar ketika dilahirkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembar seiras tertukar, terbongkar selepas 20 tahun

Iklan

Kejadian itu disedari selepas ketiga-tiga mangsa, Adryani Iwani, ‘kembarnya’ Adryana Irwani dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, masing-masing 20 tahun, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada September tahun lepas.

Mengulas lanjut tentang kejadian itu, Siti Fatimah berkata, paling penting dalam situasi sekarang, keluarga terlibat perlu memastikan orientasi kefungsian diri mangsa terlibat seperti makan, minum dan komunikasi berjalan seperti biasa.

Menurutnya, pada masa yang sama mangsa mahupun ahli keluarganya perlu mengelakkan membandingkan diri antara satu sama lain, mengkritik atau mempertikaikan perkara yang sudah tersurat sejak azali itu.

"Yang terjadi adalah sesuatu ujian daripada ALLAH ada sebab ia berlaku sama ada untuk kita teladani atau mengelak. Ia juga mungkin satu pengajaran besar kepada pihak yang terbabit, baik dalam soal kepekaaan mahupun integriti,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Syed Mohamad Syed Abdullah percaya kedua-dua keluarga terbabit masih bergelut dengan perasaan terkejut, sedih dan keliru untuk menerima kejadian itu.

"Ini petanda-petanda normal (yang boleh dijangkakan) bagi mereka yang menghadapi sesuatu ujian. Mereka akan rasa marah, sedih dan akan ada sedikit kemaafaan, sehinggalah pada satu peringkat nanti mereka boleh berada pada tahap penerimaan sepenuhnya.

"Sehubungan itu, dalam hal ini sokongan moral yang kuat daripada pihak yang ada di sekeliling amat perlu untuk membantu mereka terus cekal menghadapi tempoh getir itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak yang tertukar wajib tukar kembali bin, binti: Mufti Kelantan

Syed Mohamad turut menasihati mangsa yang terlibat supaya menguruskan perasaan terpendam dengan cara baik termasuk meluahkannya kepada adik-beradik, yang boleh menjadi pendengar yang baik.

Pada masa yang sama juga, katanya, Adryani Iwani, Adryana Irwani dan kembar Noratirah perlu menjauhi sifat berteka-teki dengan pemikiran sendiri kerana ia boleh menjejaskan kesihatan diri.

"Sesetengah orang yang tidak dapat menerima hakikat, akan berterusan menangis dan murung, ada sesetengah orang pula yang terkejut dengan apa yang berlaku tetapi jauh di sudut hati mereka dapat menerima keadaan ini kerana ada kekuatan ‘resilience’ atau daya tahan dalam diri mereka.

"Oleh itu, daripada berfikiran negatif seperti kenapa perkara ini berlaku atau siapa bersalah, ia harus diimbangi dengan pemikiran yang positif iaitu menerima bahawa ini ujian kehidupan walaupun berat, tetapi mungkin ada kebaikan di sebaliknya,” katanya. - Bernama