KFA terkejut cadangan pampasan Akhyar

Iklan
Akhyar telah diasah bakat oleh Kedah sejak empat tahun lalu.
LANG Merah terkejut dengan draf cadangan pampasan yang bakal diterima pihaknya sekira pemain berbakat mereka, Akhyar Rashid sah keluar dari gergasi utara itu.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, nilai tersebut tidak setimpal dengan apa yang telah dilakukan KFA yang telah mengilap bakat pemain berkenaan sehingga dikenali dan menarik minat banyak pasukan gergasi tanah air dan juga beberapa pasukan luar negara.

Menurutnya, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membuat keputusan profesional bagi memastikan hak pasukan yang telah melahirkan pemain-pemain yang berkaliber tidak dinafikan selain diberikan ganjaran setimpal.

"Saya ada melihat draf tersebut pagi tadi (semalam) dan mengakui nilainya begitu kecil jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh KFA terhadap pemain tersebut sejak 2014 dan masih mempunyai baki kontrak setahun.

"Kami tidak puas hati di mana jumlah pampasan telah ditentukan dan bukannya dari KFA. Mungkin ada penasihat di belakang tapi itu kami tidak kisah. Sepatutnya Kedah yang buat keputusan kerana kami adalah majikan pemain," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Ramah Mesra Beliau sebagai Exco Belia, Sukan, Pelancongan dan Keusahawanan Kedah bersama agensi kerajaan dan swasta di sebuah hotel, semalam.

Mohd Asmirul berkata, FAM telahpun memanggil pihaknya untuk berbincang dan akan menunggu kata putus badan induk tersebut yang menjadi pengantara. Menurutnya yang enggan mendedahkan jumlah sebenar cadangan pampasan itu tetap berharap pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar terus datang berunding dengan pihaknya.

"Kalau betul dia (Akhyar) nak keluar dari pasukan Kedah, sepatutnya pasukan yang berminat dengannya datang terus untuk berbincang berhubung pampasan kontrak pemain tersebut,"katanya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa berkata perkara tersebut telah dibawa oleh Akhyar ke FAM sebagai perantara untuk memuktamadkan keputusan akhir.

Pihaknya mempunyai 10 hari bermula 22 November lalu untuk menyelesaikan rundingan selepas pemain berkenaan memohon untuk keluar dari pasukan berkenaan