KOTA KINABALU - Empat individu termasuk tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan aktiviti perjudian haram pada minggu lalu diberkas oleh pihak polis untuk membantu siasatan.
Semua individu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita tempatan bersama seorang lagi wanita warga Indonesia ditahan pada Sabtu lalu di Tawau.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya melaksanakan tangkapan semula terhadap ketiga-tiga suspek terbabit untuk siasatan polis.
"Risikan dan siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan berusia 30-an pada hari sama kira-kira jam 2.15 petang di Taman Anugerah, Tawau.
"Suspek dipercayai turut terlibat menjalankan aktiviti perjudian secara online dan dipercayai salah seorang ahli sindiket perjudian tambah nilai secara online," katanya dalam sidang akhbar bersama Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pada Selasa.
Katanya lagi, permohonan reman terhadap kesemua tangkapan telah dibenarkan sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka dan juga tindakan di bawah undang-undang pencegahan jenayah.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c), Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca)," katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) katanya, dengan kerjasama SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membanteras aktiviti perjudian haram di Sabah.
Sementara itu, Karunanithy mengesahkan setakat ini tiada tangkapan dilakukan terhadap penguat kuasa kerana SPRM fokus terhadap tiga individu tersebut di bawah Akta SPRM 2009 iaitu memberi sogokan kepada anggota penguat kuasa.
Pada 21 Jun lalu, SPRM menahan tiga individu terbabit dan sebanyak RM39,199 wang tunai dirampas selain menyita empat akaun bank berjumlah RM586,576 dipercayai hasil daripada aktiviti perjudian haram.