40 peniaga mangsa ribut dapat bantuan

Iklan
Izhar (tiga kanan) diiringi Che Zakaria (empat dari kiri) menghulurkan sumbangan kepada peniaga yang terjejas selepas gerai mereka dipukul ribut di tapak penjaja berhampiran Masjid Taman Rinting, Masai, Pasir Gudang pada Selasa.

PASIR GUDANG - Hampir 40 gerai peniaga yang menjual makanan jalanan di tapak penjaja berhampiran Masjid Taman Rinting, Masai di sini yang musnah dalam kejadian ribut pada Khamis mendapat bantuan kerajaan negeri.

Exco Pelaburan, Pembangunan Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh bertemu peniaga di tapak penjaja itu pada Selasa.

Iklan
Iklan

Mohd Izhar menghulurkan sumbangan 'one off' RM500 manakala Che Zakaria memberikan bantuan khemah baharu kepada semua peniaga terjejas.

Menurut Che Zakaria, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban dan modal untuk peniaga membangun semula perniagaan.

Iklan

"Semasa bertemu peniaga, mereka menyuarakan supaya dikecualikan bayaran tapak sewa kerana jualan yang kurang memberangsangkan semasa pandemik Covid-19.

"Mereka juga ada memohon untuk berniaga pada pagi Jumaat. Ini kita sedia timbang dan panjangkan kepada pihak berkenaan kerana sedar kesusahan yang mereka hadapi," katanya ketika ditemui pemberita.

Iklan

Dalam kejadian ribut pada jam 4.30 petang itu, hampir kesemua gerai rosak diterbangkan ribut namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa.

Sementara itu, seorang peniaga, Jurina Ramli, 41, amat bersyukur dengan sumbangan tersebut selepas pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Maxis turut memberikan sumbangan pada Jumaat.

Dia yang berniaga kuih lapis kira-kira setahun lalu menjelaskan, semasa kejadian hujan lebat, petir dan angin kencang menyebabkan khemah dan gerai termasuk wang hasil berniaga diterbangkan angin ribut.

"Kerugian dialami kira-kira RM600, habis semua diterbangkan angin kencang termasuk duit hasil berniaga daripada RM100 tinggal RM40 sahaja. Kejadian berlaku begitu pantas sampai tidak sempat selamatkan apa-apa.

"Kami hanya fikirkan untuk selamat diri masing-masing dalam keadaan angin berpusar yang laju dan bunyinya yang terlalu kuat. Mujur semua peniaga selamat," katanya.

Akibat ribut banyak khemah koyak dan rosak, tiang gerai patah dan tidak boleh digunakan lagi selain barang niaga musnah.

Peniaga air kelapa muda, Hidayatullah Sidek, 34, mendakwa mengalami kerugian RM500 selain gerainya turut musnah.

Dia yang sudah berniaga sejak dua tahun lalu di tapak tersebut bersyukur kerana tiada kejadian buruk menimpa peniaga meskipun keadaan kelam kabut.