Golongan gelandangan juga mahu divaksin

Iklan
Tengku Khairul Idham (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada gelandangan di Hentian Bas MBKT di Kuala Terengganu pada Isnin.

KUALA TERENGGANU - Beberapa golongan gelandangan di sini menyatakan keinginan untuk menerima suntikan vaksin bagi menangani penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan mereka.

Ketika ditemui semasa penyerahan keperluan makanan oleh Persatuan Komuniti Sosial Terengganu pada Isnin, golongan gelandangan berharap mereka akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

Salah seorang daripada mereka, Shahrul Mansor, 32 berkata, dia bersetuju sekiranya terdapat kemudahan disediakan untuk mereka mendapatkan vaksin tersebut.

"Saya dapat tahu mengenai penularan virus Covid-19 melalui siaran televisyen yang ditonton di kedai-kedai makan sebelum ini.

Iklan

"Sekarang kalau pergi ke mana-mana, saya akan pastikan memakai pelitup muka terlebih dahulu kerana bimbang kesihatan. Saya juga bersetuju untuk divaksin sekiranya ada petugas kesihatan datang ke sini," katanya yang sudah menghuni di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sejak setahun lalu.

Menurut Shahrul, wujud kekangan bagi golongan sepertinya untuk mendaftar penerimaan vaksin menerusi MySejahtera kerana tidak mempunyai telefon pintar.

Iklan

Seorang lagi gelandangan, Zulika Saleh, 43, berkata, dia tidak takut menerima suntikan vaksin bagi membendung serangan Covid-19.

"Saya dapat tahu vaksin penting untuk keselamatan selepas melihat siaran mengenainya di televisyen di kedai makan di hentian bas ini. Sebab itu saya memakai pelitup muka dan kerap cuci tangan," katanya.

Bagi Amran Yusof, 32, yang menjadikan hentian bas itu sebagai tempat tinggal sejak tahun 2012 juga mengakui sedia menerima suntikan vaksin sekiranya diberi peluang.

"Saya agak risau kalau tak disuntik vaksin. Saya berharap golongan gelandangan seperti kami tidak dilupakan.

"Sebenarnya saya menghidap penyakit buah pinggang dan masih ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dengan berjalan kaki sejauh dua kilometer untuk mendapatkan rawatan. Saya akan cuba bertanyakan cara untuk mendapatkan vaksin apabila jumpa doktor nanti," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daie Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Tengku Khairul Idham Che Ku Abu Bakar berkata, kira-kira 35 gelandangan sekitar kawasan itu menerima sumbangan keperluan makanan hampir saban hari.

Beliau berkata, pihaknya juga menyampaikan maklumat dan kesedaran mengenai kaedah penjagaan diri yang perlu diamalkan dalam tempoh negara berdepan pandemik Covid-19.

"Golongan ini juga ada didedahkan maklumat mengenai suntikan vaksin bagi mencegah penularan Covid-19. Ini antara usaha dilakukan bagi membela golongan itu agar tidak merasa terpinggir," katanya.