Najib tak wajar kritik, patut kagum PH tunai janji

Iklan
Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi

ALOR SETAR - Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar memohon maaf atas keterlanjuran beliau mengkritik usaha kerajaan dengan mengaitkan pengumuman penurunan tol sebagai gimik menjelang PRK Semenyih dan Rantau.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, ini kerana usaha terbabit adalah langkah awal PH menunaikan sebahagian janji manifesto PRU14 lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepatutnya Najib gembira dengan pengumuman itu kerana kerajaan PH sedang berusaha menunaikan janji untuk meringankan beban hidup rakyat.

"Najib seharusnya sambut baik cadangan itu, bukannya pertikai pengumuman itu di media sosial. Beliau meninggalkan beban hutang negara terbesar dalam sejarah negara, semestinya beliau sendiri menyedari kesukaran untuk tunaikan janji,” katanya.

Iklan

Akhramsyah yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jerai berkata, kesukaran kerajaan untuk menunaikan janji penghapusan tol pasti menimbulkan rasa kagum terhadap kemampuan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berusaha melunaskan janji secara berperingkat.

"Saya berterima kasih kepada Najib kerana beri peluang kepada PH perjelaskan dengan lebih baik isu tol, selain bukti kita tunaikan janji bagi menurunkan kos sara hidup rakyat dengan mansuhkan tol secara berperingkat,” katanya.

Iklan

Menurutnya, pengumuman menjelang PRK hanya kebetulan, susulan negara berdepan beberapa siri PRK sejak PRK DUN Sungai Kandis, Ogos tahun lalu.

"Tidak mungkin inisiatif pemansuhan tol dapat diumumkan bukan dalam tempoh menjelang PRK. Adakah Najib berasakan kerajaan PH terpaksa tunggu masa lain di luar tempoh PRK untuk tunaikan janji manifesto?” katanya.

Akhramsyah berkata, pemansuhan tol ini ternyata memanfaatkan jutaan rakyat, bukan sekadar pengundi di Semenyih.

"Tuduhan itu tidak berasas, saya harap hentikan hamburan fitnah BN kononnya kerajaan PH tidak tunaikan janji PRU14,” katanya.

Menurutnya, Najib tidak perlulah menjadi jaguh rakyat dengan sekadar mempopularkan ‘bossku’, namun akur itu hak beliau untuk bersuara.

"Slogan itu seolah mengajar masyarakat seorang boss tidak perlu malu atas tindak-tanduknya. Namun saya hormati hak beliau untuk bersuara, diharap beliau lebih prihatin dalam bersuara,” katanya.

Kelmarin, Najib mempertikaikan pengumuman penurunan tol di beberapa lebuhraya sekitar Selangor dan Kuala Lumpur seolah gimik kerajaan menjelang PRK Semenyih.

Najib tegaskan, proses rundingan pengambilalihan konsesi lebuh raya berkenaan adalah tidak adil kepada penduduk di luar Kuala Lumpur, selain tidak beri pulangan kepada pelaburan rakyat.

Ia susulan kerajaan mengumumkan memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya, membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Kerajaan bercadang menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada, diganti dengan caj kesesakan kepada pengguna dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Manakala kadar tol dihapuskan pada waktu tidak sibuk (off-peak) antara 11.00 malam hingga 5.00 pagi.