Gajah liar rosakkan tanaman penduduk dipindahkan

Iklan
Anggota Perhilitan berusaha membawa gajah jantan liar (tiga kiri) sambil dibantu oleh Kasturi dan Rambai.

KUALA NERANG - Seekor gajah jantan liar seberat tiga tan yang berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah di Kampung Batu Pengasah, Durian Burung dipindahkan ke Hutan Simpan Belum, Temenggor, Perak pada Selasa.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah tersebut berjaya ditangkap pada Ahad dan dua ekor gajah denak kemudian dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang bagi membantu memindahkan gajah liar berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak Perhilitan sudah menerima banyak aduan berkenaan gajah dianggarkan berusia 30 tahun itu yang merosakkan tanaman penduduk selain memberikan ancaman keselamatan kepada penduduk di Kampung Batu Pengasah dan Kampung Baru, Padang Sanai.

"Khidmat dua gajah betina denak bernama Rambai dan Kasturi digunakan dalam operasi permindahan ini membantu gajah jantan berkenaan untuk keluar dari hutan sehingga membawanya masuk ke dalam lori pada Selasa.

Kasturi dan Rambai digunakan untuk membantu memindahkan gajah jantan liar (tengah) ke atas lori dalam proses pemindahannya di Kampung Batu Pengasah, Durian Burung pada Selasa.

Iklan

"Operasi permindahan ini bermula sekitar jam 8 pagi dan berakhir empat jam kemudian dan gajah liar ini dihantar ke Hutan Simpan Belum, Temenggor, Perak dan akan dilepaskan semula di sana," katanya pada sidang akhbar selepas operasi pemindahan gajah liar tamat di Kampung Batu Pengasah, Durian Burung pada Selasa.

Mengulas lanjut, Jamalun berkata, Perhilitan Kedah sebelum ini sudah menggunakan pelbagai kaedah untuk menghalau gajah tersebut kembali ke hutan namun haiwan tersebut masih berkeliaran dan mencari makanan berhampiran kampung.

Iklan

"Kami percaya gajah liar ini telah terkeluar dari kumpulan gajah liar tersebut dan menjadikan Hutan Simpan Ahning sebagai habitat sebelum tersesat ke kawasan berdekatan kampung.

"Kami mengambil keputusan iaitu memindahkannya selepas melihatnya bertindak agresif," ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Aziz Md Daud, 57, berkata, penduduk gembira gajah liar tersebut berjaya ditangkap dan dipindahkan kerana sebelum ini haiwan tersebut kerap berkeliaran di kawasan kampung berkenaan.

Menurutnya, beberapa kebun di Kampung Batu Pengasah telah dicerobohi oleh gajah liar tersebut dan merosakkan tanaman penduduk kampung.

"Kami memang berasa takut sebelum ini nak datang ke kebun bimbang terserempak dengan gajah liar ini. Ada penduduk kampung yang cuba menghalaunya namun haiwan ini dilihat cepat naik angin," katanya.