SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menambah baik Program World’s Top Universities (WTU) di bawah penganjuran pelajaran dengan meluaskan pilihan daripada 30 ke 50 universiti terbaik dunia.
Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, melalui penambahbaikan tersebut, pelajar dapat memilih bidang bersesuaian dan diminati untuk menyambung pengajian.
"Trend dan permintaan tinggi terhadap permohonan melanjutkan pengajian ke negara-negara seperti United Kingdom, Australia dan Kanada yang menyediakan kualiti pendidikan terbaik turut diambil kira.
"Mara juga melanjutkan tempoh permohonan pinjaman bagi program ini dari 29 Jun hingga 8 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, WTU merupakan program pinjaman pelajaran MARA kepada pelajar cemerlang yang ditawarkan mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama di universiti terbaik dunia.
Jelas beliau, penetapan universiti terbaik adalah berpandukan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings yang dikeluarkan International Ranking Expert Group (IREG) dan Badan Profesional Malaysia berasaskan universiti dengan reputasi kebolehpasaran pekerjaan yang tinggi.
"WTU terbuka kepada pelajar cemerlang yang lulus pengajian persediaan dalam International Baccalaureate (IB), A-Level, asasi, diploma dan matrikulasi.
"Ia turut dibuka kepada pelajar sedia ada yang layak dan memiliki baki pengajian sekurang-kurangnya setahun,” ujarnya.
Beliau berkata, kini seramai 3,569 pelajar tajaan Mara sedang mengikuti pengajian di beberapa universiti terbaik luar negara seperti University of Oxford, University of Cambridge dan Imperial College London.
"Tahun ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion bagi program tersebut dengan menyasarkan 60,000 pelajar menerima manfaat penajaan di bawah skim pinjaman boleh ubah di universiti dalam dan luar negara.