KONTINJEN Malaysia berada pada landasan tepat untuk menghantar 30 atlet ke Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai depan apabila 25 atlet melayakkan diri setakat ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, terbaharu kontinjen negara mendapat satu slot peruntukan semula bagi acara memanah recurve wanita.
Beliau berkata, atlet yang bakal mengisi slot itu akan ditentukan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia dalam masa terdekat.
"Masih ada lima lagi atlet sedang menunggu melibatkan sukan olahraga, golf dan renang. Bagi Paralimpik pula, 19 atlet telah layak manakala 12 lagi masih menanti pengesahan status kelayakan,” katanya pada sidang media secara maya, selepas mesyuarat Penyelarasan Kontinjen Malaysia Tokyo 2020.
Lima atlet yang masih menanti status kelayakan ialah jaguh lompat tinggi Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (100m wanita), Kelly Tan (golf wanita), Welson Sim (renang 200m/400m gaya bebas lelaki) dan Phee Jinq En (100m kuak dada wanita).
Sementara itu, Reezal Merican berkata, Datuk Lee Chong Wei akan kekal sebagai ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama pemenang tiga pingat perak Olimpik itu dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, untuk membincangkan secara lebih mendalam mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.
Chong Wei sebelum ini, dilaporkan tidak akan menyertai atlet negara ke Tokyo susulan faktor kesihatan malah akan melaksanakan tanggungjawabnya dari tanah air.
Chong Wei diumumkan sebagai CDM pada Jun 2019, sejurus selepas beliau mengumumkan persaraannya susulan menghidap kanser hidung pada September 2018. Namun selepas mendapatkan rawatan di Taiwan, legenda badminton negara itu disahkan pulih daripada penyakit tersebut.
Reezal Merican berkata, tarikh majlis penyerahan Jalur Gemilang yang akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pertemuan atlet negara bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dimaklumkan kemudian.
Sasaran kontinjen negara dijangka diumumkan seminggu sebelum upacara perasmian temasya itu, yang dijadual pada 23 Julai.
Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, pihaknya terpaksa menggantikan Khairul Anuar Mohamad, sekiranya atlet memanah recurve lelaki itu tidak dapat menggalas tanggungjawab sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis perasmian.
"Sebelum ini memang ada tanda-tanda daripada Khairul, sekiranya beliau masih keberatan, kita terpaksa menggantikan beliau dengan atlet lain. Cuma atlet yang tiada acara pada masa itu, saya ingat kebanyakannya badminton, jadi kita akan putuskan kemudian,” jelasnya.
Khairul Anuar dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Ying, namun pemanah itu menyatakan kerisauannya kerana perlu beraksi dalam acara berpasukan campuran pada pagi 24 Julai, sekiranya seorang pemanah wanita negara layak ke Tokyo. - Bernama
=