SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa kerajaan segera melaksanakan sidang Parlimen seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan memanggil menghadap Yang Dipertua dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara bagi menzahirkan pandangan mengenai isu tersebut umpama memperkukuhkan lagi titah Seri Paduka Baginda.
Ujar beliau, kedua-dua kenyataan akhbar Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini menggunakan perkataan ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ bagi menzahirkan hasrat Seri Paduka Baginda.
"Hari ini (Selasa) terjawab polemik yang sengaja dicetuskan mengenai sidang Parlimen mesti disegerakan apabila Seri Paduka Baginda memanggil menghadap kedua-dua Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Sejurus selepas sesi menghadap, satu lagi kenyataan akhbar Istana Negara dikeluarkan memperkukuhkan lagi titah Seri Paduka Baginda yang mahu Parlimen bersidang secepat mungkin,” katanya di Facebook pada Selasa.
Asyraf berkata, ia jelas menunjukkan Seri Paduka Baginda dan Raja-raja Melayu amat prihatin akan keperitan rakyat hari ini yang semakin susah, terdesak dan tertekan.
"Kenapa susah sangat nak faham titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pemerintah jelas dalam dua kenyataan media pada 16 Jun lalu menitahkan supaya Parlimen wajar bersidang dalam masa terdekat,” ujarnya.