KAPTEN Argentina, Lionel Messi muncul pemain memiliki kap terbanyak bersama pasukan bola sepak utama negara itu apabila ketika membantu negaranya mengatasi Bolivia 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan Copa America 2021 pada Selasa.
Lebih manis penampilan ke 148 bintang sensasi kelab liga Sepanyol, Barcelona itu memintas legenda La Albiceleste, Javier Mascherano disulami dua jaringan pada babak pertama.
Peluh dan air mata penampilan pertama Messi bermula ketika dia mewakili negaranya pada 2005, yang menyaksikan dia diperintahkan keluar padang selepas 43 saat bermain.
Pada usia 18 tahun ketika itu, Messi dimasukkan pada babak kedua semasa aksi persahabatan menentang Hungary di Budapest, dilayangkan kad merah selepas menyiku muka lawan.
Kemenangan ke atas Bolivia itu melebarkan rekod tanpa kalah La Albiceleste kepada 17 perlawanan sekaligus menempah slot kalah mati lapan terbaik kejohanan berprestij bola sepak benua Amerika Selatan itu menentang Ecuador.
Messi yang sudah melengkapkan segala kejuaraan domestik, Eropah dan benua bersama Barcelona, masih mengharapkan saingan trofi kejuaraan Copa America Brazil 2021 menjadi milik skuad putih biru sekaligus mengakhiri kemarau kejuaraan utama terakhir pada 1993.
"Saya sudah cukup bernasib baik untuk memenangi segalanya di peringkat kelab dan individu. Namun sejujurnya saya akan lebih menyenangkan juga apabila memenangi sesuatu dengan skuad kebangsaan, hanya ini impian saya," kata pemain berusia 34 tahun itu.
Barcelona, antara kelab yang menghantar ucapan tahniah atas pencapaiannya pada Selasa:"Legenda yang benar, Leo! Tahniah."
Untuk rekod, Messi muncul dalam tiga final Copa America, dan juga final Piala Dunia 2014, namun semuanya berakhir dengan keputusan mendukacitakan apabila Argentina tewas semua perlawanan final.
Namun di sebalik itu, La Albiceleste yang kini menyelusuri jajaran lapan terbaik dengan status tanpa kalah sejak 2019.