Operasi bermula jam 7.30 pagi tadi dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam usaha membanteras lambakan PATI.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi selama tujuh jam ini telah memeriksa seramai 339 warga asing.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seramai 105 PATI termasuk 10 wanita ditahan atas kesalahan imigresen.
"Berdasarkan pecahan, tangkapan membabitkan warga Myanmar (55 orang), Bangladesh (20), Indonesia (12), Pakistan (13), India (4) dan seorang warga Nepal.
"Mereka ini akan dibawa ke Lokap Berpusat Shah Alam untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Sri Muda, di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat laporan berhubung kes perbuatan jenayah melibatkan kalangan warga asing.
Tegas Baharudin, malah terdapat kejadian di mana berlakunya pergaduhan sesama mereka hingga menyebabkan kematian .
Justeru, operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha mengesan mereka yang terlibat dalam kes jenayah dan seumpamanya.