SEMINGGU dua ini memang demam bola satu dunia sebab sudah setahun lebih tak ada kejohanan besar. Bila ada Euro dan Copa America memang ramai kaki bola pun 'hidup balik'.
Merak Jalanan pun tengah-tengah malam ikut sama bersengkang mata.
Tapi paling best pertemuan awal pagi Selasa bila Sepanyol dan Croatia main bermati-matian sampai ada lapan gol. Lima milik Sepanyol dan tiga daripada Croatia.
Tak ketinggalan, Switzerland pun buat kejutan menghantar pulang juara dunia, Perancis menerusi sepakan penalti.
Kata orang, menang kalah adat bertanding, tapi satu perkara yang Merak Jalanan saksikan seluruh Eropah kini sedang berpesta.
Hampir semua stadium penuh dengan lautan manusia. Ada yang padat-sepadatnya, ada juga yang mengamalkan sedikit jarak sosial.
Tapi di satu sudut benua lain, negara-negara di Asia dilihat berdepan dengan nasib berbeza.
Selepas India yang dilanda tsunami Covid-19, Malaysia sendiri berdepan dengan peningkatan kes yang sampai kini ibarat demam tak 'kebah-kebah'.
Sejak beberapa hari lalu, di negara jiran, media-media Indonesia melaporkan negara tersebut kini kembali berdepan Covid-19 yang menggila.
Namun, yang pasti salah satu faktor utama Eropah sudah berpesta dan Asia masih derita tidak lain tidak bukan kerana perbezaan kadar vaksinasi.
Di United Kingdom 66 peratus rakyatnya sudah divaksinasi, diikuti Belgium (60%), Hungary (56%), Itali (55%), Belanda (54%) dan Jerman (54%).
Tapi berbeza dengan negara Asia, (tolak tepi negara Asia kaya) rata-rata kadar vaksinasi lain masih rendah, India baru mencapai tahap 19 peratus, Malaysia (16%), Laos (12%), Indonesia (10%) dan Thailand (9.2%).
Cuma Merak Jalanan terfikir dengan Sukan Olimpik akan membuka tirai 23 hari lagi (23 Julai - 8 Ogos) dan kadar vaksinasi rakyat Jepun cuma 22 peratus, mampukah negara Asia itu menganjurkan sukan tersebut dengan selamat?