Bendera putih bukan bererti mengaku kalah

Iklan

USAHA, doa dan tawakal menjadi pegangan hidup kita sebagai umat Islam lebih-lebih lagi apabila dihadapkan dengan satu ujian yang cukup perih seperti wabak Covid-19 yang melanda negara kita sejak awal tahun lalu.

Terlalu ramai yang diberhentikan kerja, ada yang gajinya dipotong dan ada yang dipaksa menerima Skim Pemisahan Sukarela (VSS) tanpa mengira anda T20 atau M40, apatah lagi golongan B40 yang sememangnya bukan dari golongan yang berada.

Iklan
Iklan

Lemah apabila dibuang kerja, malah dipaksa untuk berkurung di rumah dan hilang keupayaan untuk menyara keluarga menyebabkan ramai berada di dalam keadaan tekanan yang luar biasa sehingga ada yang sanggup mengambil jalan mudah dengan bertindak menamatkan riwayat diri sendiri.

ALLAH SWT tidak akan menguji kita lebih daripada apa yang kita mampu tetapi sebagai manusia yang lemah, kita kadang kala lupa dengan prinsip pegangan hidup sebagai seorang mukmin iaitu usaha, doa dan tawakal.

Iklan

Keperitan hidup yang dialami rakyat akibat Covid-19 membuatkan warganet sepakat menggunakan media sosial bersolidariti membantu golongan memerlukan menerusi kempen tanda pagar #RakyatJagaRakyat dengan mengibarkan bendera putih di halaman rumah masing-masing sekiranya perlukan bantuan.

Tanda pagar #RakyatJagaRakyat termasuk #BenderaPutih juga trending di Twitter berikutan ramai terpanggil untuk sama-sama menyebarkan kempen tersebut agar sampai kepada golongan sasaran.

Iklan

Kempen yang disambut baik pengguna media sosial sejak semalam itu bermatlamat bagi membantu individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 namun malu menyatakannya secara terbuka.

Dengan banyak mesej dan poster yang tersebar di media sosial berkaitan kempen itu, rata-rata memuji inisiatif itu sebagai cara yang baik untuk meminta pertolongan.

Kibaran bendera putih meminta bantuan antara sesama manusia, bukan bererti kita menyerah kalah atau telah kalah dalam peperangan.

Sebaliknya sebagai isyarat yang keluarga berkenaan memerlukan bantuan makanan dengan kadar segera.

Siapa yang melihat isyarat itu dan mempunyai kemampuan, bolehlah menyalurkan bantuan.

Kita percaya mereka yang berdepan masalah tidak putus berdoa dan mengibarkan bendera putih juga adalah salah satu ikhtiar.

"Angkat bendera putih tu satu ikhtiar. Kadang-kadang orang tak dapat kesan. Bila ada ‘signal’ macam ni, mudah kerja-kerja NGO dan jiran tetangga," kata personaliti TV, Fedtri Yahya.

Tidak dinafikan ramai yang berjiwa murni di Malaysia ini apabila sanggup membantu orang ramai di waktu susah tanpa mengira latar belakang, antaranya Uncle Kentang, Ebit Lew dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin turut menyambut baik dan menguar-uarkan kempen #BenderaPutih untuk menaikkan sikap prihatin bantu-membantu sesama masyarakat.

Pemulih

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion, bertujuan memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam berdepan penularan wabak Covid-19.

Isi rumah miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM500 tiga bulan berturut bermula Ogos ini, dalam pemberian khas Bantuan Khas Covid-19.

"Saya tidak akan berkompromi dalam soal memelihara kebajikan rakyat dan memerangi Covid-19,” katanya

Ramai yang menarik nafas lega dengan pengumuman perdana menteri itu yang memberi ruang bernafas kepada mereka yang sudah hampir lemas akibat pandemik Covid-19.

Namun begitu, kerajaan perlu segera merangka satu strategi tindakan secara holistik untuk mengawal penularan wabak Covid-19 yang merupakan satu-satunya cara untuk memulihkan kembali ekonomi negara dan mengembalikan kehidupan rakyat kepada norma biasa.

Kesan Covid-19 ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat malah syarikat dan organisasi-organisasi besar yang dulunya menjana pendapatan berjuta-juta ringgit turut tersungkur.

* Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil ialah wartawan Sinar Harian