Dua beradik ikuti PdPR dalam pondok kebun getah

Iklan
Mimi Ismaliza dan Mohamad Izman sedang mengikuti sesi PdPR di pondok kayu dibina bapanya di kebun getah. Gambar kecil: Malik

KUALA PILAH - Masalah tiada capaian internet di rumah menyebabkan dua beradik di Kampung Malan, Dangi di sini terpaksa mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di dalam kebun getah.

Seawal jam 7 pagi, Mimi Izmaliza Malik, 14, dan adiknya Mohamad Izman, 12, akan mendaki bukit lebih kurang sejauh 50 meter dari rumah mereka untuk menuju ke pondok kayu dibina bapanya di dalam kebun getah berkenaan sejak sebulan lalu.

Iklan
Iklan

Malik Ahmad, 53, berkata, dia membina pondok belajar buat anaknya di kebun getah kerana hanya di situ dapat mengakses rangkaian internet.

"Sebelum ini anak saya menumpang belajar di Balai Raya Kampung Malan.

Iklan

"Tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang berterusan dan saya bimbang keselamatan mereka yang jauh dari rumah, saya nekad buat pondok dalam kebun getah ini.

"Lagipun keadaan pandemik Covid-19 ini yang tak menentu dan tak tahu bila sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa, saya fikir sebagai bapa kena buat sesuatu bagi memudahkan anak-anak belajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Mimi Ismaliza dan Mohamad Izman berjalan kaki selama lima minit untuk ke pondok kayu di kebun getah.

Namun Malik yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengakui yang perasaan bimbang soal keselamatan anak-anaknya itu tetap ada kerana mereka perlu mendaki kira-kira lima minit.

Katanya, dia bersyukur kerana setakat ini tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini dan dia bersama isteri sesekali akan menemani anak mereka belajar.

"Ini sajalah cara terbaik yang dapat saya lakukan buat masa ini demi melihat anak-anak saya tidak ketinggalan belajar PdPR sama seperti pelajar lain.

"Saya pun semangat nak buat pondok itu kerana walau macam mana susah sekali pun anak-anak saya akan cuba pastikan tak terlepas untuk ikuti kelas dalam talian dan saya nampak kesungguhan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Malik berharap masalah capaian internet di kawasan itu dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib.

Dalam pada itu, difahamkan masalah yang dihadapi dua beradik itu telah pun berada dalam perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Saiful Yazan Sulaiman, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.