KEJUTAN terus berlaku pada aksi kalah mati Euro 2020 dan kali ini giliran Ukraine mengesahkan slot ke suku akhir apabila menewaskan Sweden 2-1 di Hampden Park, Glasgow pada Rabu, bagi menempah slot ke suku akhir.
Jaringan pemain gantian, Artem Dovbyk pada masa kecederaan separuh kedua masa tambahan sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan Ukraine ke suku akhir kelak.
Setelah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik selaku pasukan di tangga ketiga terbaik Kumpulan C, Ukraine dilihat mempamerkan aksi bertenaga dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan deras Oleksandr Zinchenko yang sama sekali menewaskan penjaga gol Sweden, Robin Olsen.
Tersentak dengan gol berkenaan, Sweden mula menggandakan asakan dan akhirnya pada minit ke-43 pemain sayap, Emil Forsberg menjaringkan gol penyamaan untuk kedua-dua pasukan terikat 1-1 menuju bilik persalinan.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terus buntu untuk menambah jaringan dan menyaksikan perlawanan diheret hingga ke masa tambahan.
Pada minit ke-99, Sweden terpaksa beraksi dengan 10 pemain, apabila pemain pertahanan, Marcus Danielson dilayangkan kad merah kerana mengasari penyerang Ukraine, Artem Besyedin.
Kesempatan berkenaan dimanfaatkan sebaiknya oleh kesebelasan Ukraine untuk mengasak ke gawang Sweden untuk menambah jaringan.
Hasilnya, Dovbyk berjaya menanduk masuk gol kedua yang juga gol kemenangan Ukraine pada masa kecederaan separuh masa kedua masa tambahan bagi menempah pertemuan dengan England, 4 Julai ini.